Berita Utama

Kerajaan seperti buta, bisu bila bangsa lain hina Islam

PPIM kesal netizen Cina tak sensitif, ejek isu serangan di Palestin

BANGI, 27 Rabiulawal 1445H, Jumaat – Kerajaan Madani dilihat tidak serius dalam menangani isu kebebasan bersuara dalam talian apabila tiada tindakan diambil terhadap pihak yang tidak menjaga sensitiviti umat Islam mengenai konflik Palestin-Israel.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mendakwa, kerajaan begitu pantas mengambil tindakan undang-undang apabila lawan politik mereka melanggar ‘undang-undang’ kebebasan bersuara.

Namun, mereka seperti buta, pekak dan bisu apabila bangsa bukan Islam berbuat perkara sama walaupun menghina agama Islam, dakwanya.

“Ketika umat Islam sedang sibuk berkumpul mengusahakan bantuan untuk rakyat Palestin, ada segelintir rakyat Malaysia yang mentertawakan mereka.

“Mereka seolah-olah mengejek kejadian pengeboman masjid di Palestin dan mentertawakan kesusahan yang sedang dilalui oleh saudara Islam kita di Palestin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Atas sebab itu, Nadzim mempersoalkan sikap kerajaan yang seolah memilih untuk mendakwa dan mengecam rakyat Malaysia beragama Islam apabila menyentuh isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R), namun membiarkan bangsa lain dengan nasihat semata-mata.

“Akhbar Cina Malaysia yang menceritakan mengenai masjid yang telah dibom oleh peluru Israel mendapat ejekan dan emotikon ketawa oleh 730 bangsa Cina Malaysia. Beringat kawan-kawan, Islamophobia wujud di Malaysia.

“Apakah pemimpin Islam di negara ini sudah takut kepada bangsa lain, terlalu hendak menjaga hati takut hilang kuasa,” soalnya.

Tegasnya, umat Islam negara ini tidak akan berdiam diri dengan perbuatan biadab dan sanggup berdepan dengan sesiapa sahaja yang menghina Islam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button