PN dakwa MP Kuala Kangsar diugut untuk sokong kerajaan
Iskandar ditekan sokong PM, dijanji habuan wang dan kedudukan

BANGI, 27 Rabiulawal 1445H, Jumaat – Perikatan Nasional (PN) mendakwa Ahli Perlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid diugut akan didakwan atas kesalahan rasuah, sekiranya enggan menandatangani kenyataan media untuk menyokong kerajaan
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa, tindakan berkenaan dipercayai digunakan bagi mendapat sokongan supaya kerajaan memperoleh sokongan dua pertiga majoriti di Parlimen.
“1 Oktober lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar dipercayai dibawa bertemu dengan seorang pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sebuah hotel di Damansara dan diugut akan didakwa atas kesalahan rasuah sekiranya enggan menandatangani kenyataan media berkenaan.
“Sebelum itu, pada 26 September lalu Iskandar juga didatangi seorang taikun perniagaan bergelar Tan Sri yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri di sebuah lokasi sekitar Damansara.
“Beliau juga ditekan dan didesak untuk menyokong Perdana Menteri serta dijanjikan habuan wang ringgit dan kedudukan dalam beberapa syarikat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut itu berkata, ketika pertemuan bersama Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Iskandar juga kelihatan amat tertekan susulan ugutan terhadapnya.
Atas dasar itu, PN mengutuk keras tindakan kerajaan yang berterusan menyalahgunakan kuasa bagi melakukan intimidasi serta ugutan terhadap pemimpin pembangkang.
“PN mendesak kerajaan Madani menghentikan tindakan salah guna kuasa dan intimidasi terhadap semua ahli Parlimen.
“Amalan seperti ini amat bertentangan dengan prinsip demokrasi yang diamalkan dalam sebuah negara yang menjunjung tinggi keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang,” katanya.
Pada masa sama, Hamzah menegaskan, PN kesal di atas kenyataan yang dibuat secara terburu-buru Iskandar dengan menggunakan hujah peruntukan pembangunan sebagai alasan amat berbeda dengan penjelasan yang diberikan kepada beberapa pemimpin parti.
Katanya, PN mengambil maklum ketetapan Mesyuarat Biro Politik Bersatu untuk memanggil Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu bagi mendapatkan penjelasan sebelum mengambil tindakan selanjutnya.
Semalam, Iskandar Dzulkarnain mengisytiharkan sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim disebabkan isu peruntukan.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.