Netanyahu beri amaran, serangan di Gaza hanya permulaan
Israel gerak sokongan besar-besaran antarabangsa untuk hapus Hamas

BAITULMAQDIS, 28 Rabiulawal 1445H, Sabtu – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberi amaran bahawa serangan tanpa henti ke atas Semenanjung Gaza ‘hanyalah permulaan’.
“Kami menyerang musuh kami (Hamas) dengan kekuatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan saya mengesahkan bahawa ini hanyalah permulaan,” katanya dalam satu kenyataan televisyen yang disiarkan oleh Saluran 12 Israel.
Katanya, Israel akan menamatkan pertempuran pada masa yang dilihat sesuai selepas Hamas dikalahkan.
Beliau menegaskan, Tel Aviv sedang menggerakkan sokongan antarabangsa secara besar-besaran untuk operasi itu dan memaklumkan jangkaan bekalan peluru dan senjata Amerika Syarikat (AS).
Netanyahu mengulangi janjinya untuk menghapuskan pejuang Hamas sejak bermulanya Operasi Taufan Al-Aqsa.
Sehingga kini, angka korban rakyat Palestin terus meningkat iaitu mencecah hampir 1,900 orang dengan 6,388 yang lain cedera.
Konflik bermula apabila Hamas memulakan Operasi Taufan Al-Aqsa – serangan mengejut pelbagai serampang termasuk serangan roket bertubi-tubi dan penyusupan ke Israel melalui darat, laut dan udara.
Hamas berkata, operasi itu sebagai tindakan balas terhadap penyerbuan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki dan keganasan penceroboh Israel yang semakin meningkat terhadap rakyat Palestin.
Tentera Israel kemudian membalas dan melancarkan Operasi Pedang Besi terhadap sasaran Hamas di Semenanjung Gaza.
Serangan diperluaskan kepada pemotongan bekalan air dan elektrik ke Gaza, memburukkan lagi keadaan hidup di kawasan di bawah kepungan yang melumpuhkan sejak 2007. – Agensi