Pendirian kerajaan terhadap kezaliman Israel tak telus: Putra
'Kenapa Wisma Putra tak panggil Duta AS, kutuk Zionis secara langsung?'

BANGI, 28 Rabiulawal 1445H, Sabtu – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mendakwa pendirian kerajaan terhadap isu kekejaman, kezaliman dan tidak berperikemanusian rejim Israel ke atas Palestin, sebagai tidak telus serta tidak jelas.
Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, pengumuman sumbangan RM10 juta kepada Tabung Kemanusian Palestin tidak mencerminkan kemarahan majoriti warga dunia sejagat, selain mendakwa ia sekadar menunjukkan simpati secara sepintas lalu.
“Kenapa Kerajaan Malaysia, Wisma Putra tidak memangil Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia dan menyatakan kecaman kutukan di atas perbuatan Zionis Israel terhadap rakyat Palestin yang berterusan.
“Menimbulkan tindak balas Hamas untuk mempertahan hak rakyat Palestin tidak lebih dari menutup kejahatan Israel terhadap rakyat Palestin yang berterusan seperti merampas tanah-tanah milik rakyat Palestin dan melakukan berbagai kekejaman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, Putra mendesak kerajaan mengutuk dan mengecam keganasan serta kegilaan Zionis yang disokong oleh AS dan sekutu Eropah secara langsung.
Ia boleh dilaksanakan dengan cara menyerah nota bantahan rasmi terhadap Israel dan sekutunya melalui duta AS di Malaysia serta duta Malaysia ke AS secara terus ke Rumah Putih Presiden AS dan duta Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk diserahkan kepada Setiausaha Agungnya dengan segera.
Nota bantahan dan kecaman juga perlu diserahkan kepada sekutu-sekutunya oleh duta-duta Malaysia kepada Presiden Perancis, Perdana Menteri Britain, Canselor Jerman, Presiden India dan Presiden Parlimen Eropah.
“Putra berharap tidak ada permainan wayang atau retorik dalam menangani isu kekejaman dan kejahatan Zionis Israel sudah lebih 75 tahun.
“Kekejaman ini akan berterusan tanpa henti dan kita rakyat Malaysia yang prihatin wajib mengutuk Zionis Israel dan sekutunya tanpa henti,” katanya.