28 petugas kesihatan syahid, hospital di Gaza hampir ‘lumpuh’
Hospital Beit Hanoun, Al-Durrah terpaksa henti operasi angkara Israel

RAMALLAH, 29 Rabiulawal 1445H, Ahad – Seramai 28 kakitangan perubatan terbunuh dalam serangan berterusan Israel sejak lapan hari lalu ke atas Semenanjung Gaza.
Menteri Kesihatan Palestin, Mai Aikaila berkata, serangan berterusan itu turut mencederakan puluhan petugas kesihatan di 15 pusat perubatan yang turut musnah akibat pencerobohan rejim.
“Hospital Beit Hanoun dan Hospital Kanak-Kanak Al-Durrah terpaksa menghentikan operasi, selain 23 ambulans rosak teruk akibat serangan berterusan.
“Israel juga mengancam ratusan nyawa pesakit di beberapa hospital termasuk di Hospital Kanak-Kanak Al- Durrah yang dipindahkan sebelum ini, selepas melancarkan serangan bom fosforus putih, yang diharamkan di peringkat antrabangsa,” katanya.
Aikaila sekali lagi menggesa masyarakat antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), badan hak asasi manusia dan entiti kemanusiaan antarabangsa untuk segera menyediakan perlindungan bagi hospital, kemudahan rawatan, ambulans, kakitangan perubatan serta pesakit yang berdepan serangan setiap hari.
Sebelum ini, rejim Israel memperluaskan sekatan dengan menyekat bekalan air dan elektrik di seluruh Gaza, sekali gus memburukkan lagi keadaan kemanusiaan di wilayah itu.
Sehingga kini, 2,228 rakyat Palestin syahid dan 8,744 lagi cedera, kebanyakannya wanita serta kanak-kanak.- Agensi