Tak perlu politikkan istilah ‘maha kaya’ diguna Anwar
'PN sebenarnya tahu maksud PM, Hamzah pula terasa pedas'

BANGI, 2 Rabiulakhir 1445H, Selasa – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi meminta pembangkang supaya tidak mempolitikkan istilah ‘maha kaya’ yang digunakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2024, Jumaat lalu.
Beliau dalam kenyataan di Facebooknya mendakwa, Perikatan Nasional (PN) sebenarnya faham apa yang dimaksudkan Anwar apabila menegur golongan ‘maha kaya’.
Katanya, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin sendiri mengakui PN tidak akan berkompromi dengan pihak yang mendapat kekayaan hasil daripada kegiatan ekonomi gelap dan tidak bermoral.
“Itulah maksud Perdana Menteri. Termasuk jadi kaya kerana melanggar tatakelola kewangan macam isu Jana Wibawa.
“Kita mahu ‘maha kaya’ yang boleh berunding macam Syed Mokhtar. Dia menyumbang RM10 juta untuk pesawah padi miskin setelah Anwar minta dia mengurangkan monopoli beras negara.
“Kita tidak mahu ‘maha kaya’ yang cuba mencatur politik negara dan menaja kerajaan tebuk atap. Hamzah pula terasa pedas cilinya,” katanya.
Sebelum ini, Hamzah menempelak Anwar yang seolah-olah menyalahkan golongan ‘maha kaya’ ketika membentangkan Belanjawan 2024.
Katanya, PN bimbang dengan intonasi dan naratif Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam pembentangan berkenaan yang memberikan gambaran negatif kepada golongan kaya.
“Saya hairan sudah acap kali Anwar melabelkan mereka sebagai golongan maha kaya yang seolah-olah melakukan banyak kesalahan.
“Apa salahnya kerajaan merangkul dan menggarap penyertaan semua pihak, termasuk golongan ahli perniagaan yang berjaya dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, terutamanya dalam usaha menarik pelaburan luar dan mencipta peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.