Berita Utama

Universiti awam jangan tolak kemasukan pelajar miskin, tak mampu bayar yuran

Bayaran boleh dilunaskan selepas daftar subjek setiap semester

PUTRAJAYA, 2 Rabiulakhir 1445H, Selasa – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan arahan kepada universiti awam di negara ini untuk tidak menolak kemasukan pelajar miskin atau tidak mampu membayar yuran.

Memaklumkan perkara berkenaan pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di sini hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, arahan sedemikian, yang pertama kali dalam sejarah negara, adalah untuk memastikan para pelajar mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

“Saya bagi arahan tidak ada universiti yang boleh menolak mana-mana pelajar miskin, mesti daftar bagi nama dan kementerian atau jabatan harus selesaikan.

“Ini pertama kali berlaku dalam sejarah, tidak ada anak kita di mana sahaja, daripada kaum mana juga, yang miskin dan tidak mampu menolak tawaran ke universiti. Dia daftar dulu, kemudian dia lapor,” katanya.

Ketika berucap, Anwar berkata beliau dimaklumkan terdapat pelajar dari Ampang dan Tambun telah menolak tawaran kemasukan ke universiti kerana tidak mampu membayar yuran pendaftaran.

Beliau turut berkata, pelajar sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak akan disekat bagi mendaftar subjek pada setiap semester dan bayaran boleh dilunaskan selepas pendaftaran subjek.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lepas, Anwar mengumumkan bermula Januari depan, yuran pendaftaran masuk ke universiti awam dihadkan tidak melebihi RM1,500 iaitu selari dengan nilai pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah RM1,500.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button