BERJASA desak kerajaan bahas isu Palestin di Parlimen
Gesa OIC beri tekanan kepada rejim haram dengan segala kekuatan yang ada

BANGI, 3 Rabiulakhir 1445H, Rabu – Parti BERJASA mendesak kerajaan supaya mengutuk dan menyuarakan bantahan keras ke atas kekejaman rejim pengganas serta sekutunya, Amerika Syarikat (AS).
Sebagai solidariti berterusan terhadap Palestin, BERJASA juga menggesa supaya kerajaan membawa perbahasan isu kemanusiaan dan jenayah perang ini bagi mendapatkan sokongan rasmi Ahli Parlimen.
Ketua Penerangannya, Mohd Hamdan Mohd Sharif berkata, situasi Perang Palestin- Israel kini telah masuk ke fasa yang semakin meruncing dan hak-hak kemanusiaan telah dicabul rejim pengganas yang semakin kejam.
“Perkara yang termaktub di dalam Hak Kemanusiaan Konvensyen Geneva telah dilanggar, dan undang- undang peperangan juga telah dicabul.
“Rejim juga menyasarkan bom secara langsung ke atas sekolah hospital awam, rumah-rumah penempatan dan mengebom rakyat awam Gaza yang sedang mencari tempat berlindung,” katanya.
Justeru BERJASA menggesa agar dilaksanakan inisiatif dengan negara-negara Islam yang lain – termasuk membuka saluran kecemasan ke Gaza dengan segera serta mendesak Mesir untuk membuka sempadan Rafah.
Malah, kerajaan juga harus mendesak Pertubuhan Kerjasama Negara-Negara Islam (OIC)memberi tekanan kepada blok rejim pengganas dengan segala kekuatan yang ada termasuk ketenteraan, politik, ekonomi, dan lain-lain.
“Saya berpendapat kerajaan juga boleh membawa suara dan tuntutan Hamas untuk dipenuhi dan disokong sepenuhnya serta mendesak perlaksanaan Resolusi 242 Majlis Keselamatan PBB dilaksanakan segera dan dipatuhi rejim dan negara-negara sekutu untuk berundur dari tanah Palestin yang dijajah.
“Kita tidak boleh terlepas dengan menekan Artikel 49 Konvensyen Geneva yang menghalang pemindahan penjajah ke tanah Palestin,” kata beliau.
Pada masa sama Mohd Hamdan berharap, usaha dan tindakan kerajaan perlu lebih efektif berbanding hanya panggilan telefon rasmi.
Katanya, usaha di peringkat antarabangsa perlu disusun dan dilaksanakan dengan segera supaya rakyat Gaza tidak berterusan dianiaya dan dicabul haknya.