Doktor kesan fosforus putih pada mangsa serangan Israel di Lubnan
Pesakit berpeluh, muntah teruk ketika datang ke jabatan kecemasan

TYRE, 3 Rabiulakhir 1445H, Rabu – Kesan ‘fosforus putih’ ditemukan dalam tujuh pesakit yang dimasukkan ke hospital selepas serangan rejim haram Israel di kawasan sempadan selatan Lubnan.
Perkara itu disahkan pakar perubatan di Jabatan Kecemasan Hospital Itali di bandar Tyre, Dr Muhammed Mustafa pada Selasa.
“Tahap berpeluh dan muntah pada pesakit yang datang ke jabatan kecemasan kami sangat tinggi. Kami dapat mencium bau fosforus.
“Kami menanggalkan pakaian pesakit dan dan membasuhnya dari kepala hingga kaki dengan air yang banyak,” katanya sambil memberitahu petugas perubatan turut memakai sarung tangan serta topeng sebelum memeriksa mangsa.
Dr Muhammed berkata, oksigen kemudiannya diberikan kepada mangsa, membabitkan lima anggota pertahanan dan dua orang awam.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pertahanan Awam di Tyre, Ali Safiyeddin berkata, pihaknya telah berusaha memindahkan penduduk kampung yang terkandas di kawasan itu sejak hari pertama Israel melancarkan serangan.
Katanya, pertempuran menjadi semakin ganas di kampung Ed-Duhaira pada Isnin.
“Terdapat pengeboman sebelum, tetapi semalam (Isnin) ia sangat ganas. Dikatakan bahawa bom itu dibuat dengan fosforus putih.
“Kami berada dalam bahaya dan sesak nafas akibat asap bom,” katanya.
Ali memberitahu, pihaknya memindahkan seramai 60 penduduk kampung yang terancam sesak nafas akibat asap di Duhaira.
“Empat orang daripada pasukan kami terkesan oleh asap dan dibawa ke hospital. Ini mengingatkan kami ketika pemindahan penduduk kampung di kawasan sama ketika perang tercetus antara Israel dan Hizbullah pada 16 Julai 2006.
“Kami tidak pernah melihat bom seperti itu pada masa itu. Ini adalah kali pertama kami melihat peluru berpandu seperti itu. Terdapat banyak bau dari asap di Ed-Duhaira,” katanya.
Bukan hanya di Gaza, Israel turut memperluaskan serangannya ke sempadan selatan Lubnan dan sekitar wilayah diduduki iaitu Tebing Barat.
Setakat hari ke-11 serangan, sekurang-kurangnya 3,061 rakyat Palestin syahid dan 13,750 lagi cedera angkara rejim Israel.- Agensi