
BANGI, 3 Rabiulakhir 1445H, Rabu – Rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan fenomena Gerhana Bulan Separa pada akhir bulan ini.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan Planetarium Negara memaklumkan, fenomena Gerhana Bulan Separa itu akan muncul pada Ahad, 29 Oktober ini.
“Seluruh penduduk Malaysia berpeluang menyaksikan fenomena Gerhana Bulan Separa bermula dari jam 3.35 pagi sehingga 4.52 pagi apabila bulan terlindung oleh bayang umbra bumi.
“Gerhana bermula lebih awal iaitu dari jam 2.01 pagi tetapi mengalami fasa Penumbra sehingga jam 3.35 pagi (bulan cerah seperti purnama biasa kerana bayang penumbra yang kurang gelap).
“Kemudian, gerhana mencapai tahap maksimum pada jam 4.14 pagi dan diikuti oleh fasa penumbra semula pada 4.52 pagi (bulan cerah seperti purnama biasa semula),” katanya.
Katanya lagi, fenomena gerhana ini akan tamat sepenuhnya pada jam 6.26 pagi.