Berita UtamaDunia

Jordan batalkan sidang kemuncak dihadiri Joe Biden

Pertemuan akan diadakan bila semua setuju tamatkan perang

AMMAN, 3 Rabiulakhir 1445H, Rabu – Jordan membatalkan sidang kemuncak yang diadakan di Amman hari ini dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan pemimpin Mesir dan Palestin bagi membincangkan konflik di Gaza.

Menteri Luar, Ayman Safadi berkata, pertemuan itu akan diadakan apabila semua pihak bersetuju untuk menamatkan perang dan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.

Biden dijangka berkunjung ke Israel sebelum menuju ke Jordan.

Raja Jordan, Raja Abdullah akan menjadi tuan rumah sidang kemuncak empat penjuru itu, yang akan mempunyai agenda keperluan untuk mendapatkan bantuan kemanusiaan ke Gaza bagi mencegah malapetaka kemanusiaan dan mengurangkan konflik dengan Israel.

Raja Jordan menyalahkan Israel atas letupan di hospital Gaza yang mengorbankan kira-kira 500 rakyat Palestin pada Selasa dan berkata, ia adalah ‘memalukan manusia’ serta menggesa Israel segera menamatkan kempen ketenteraannya terhadap Gaza.

Baginda memberi amaran bahawa tindak balas Israel berikutan serangan mematikan merentas sempadan oleh Hamas pada 7 Oktober yang membunuh dan mencederakan lebih 1,000 rakyat Israel.

Tindakan itu melampaui hak mempertahankan diri terhadap hukuman kolektif terhadap orang awam Palestin.

Kemarahan terhadap Israel turut mencetuskan perhimpunan besar pada Selasa berhampiran kedutaan Israel di Amman.

Dilaporkan, polis menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan ribuan penunjuk perasaan yang melaungkan slogan menyokong Hamas serta menuntut kerajaan menutup kedutaan dan membatalkan perjanjian damai dengan Israel.

Perjanjian damai Jordan dengan Israel secara meluas tidak popular dalam kalangan ramai rakyat yang melihat normalisasi sebagai penjualan hak saudara Palestin mereka.

Kedutaan Israel – lokasi penunjuk perasaan berkumpul setiap hari – sudah lama menjadi titik permulaan protes anti-Israel pada masa-masa pergolakan di wilayah Palestin. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button