Negara Islam harus bangkit bantu rakyat Palestin
Serangan rejim haram di hospital Gaza jelas jenayah perang

BANGI, 3 Rabiulakhir 1445H, Rabu – Serangan rejim haram ke atas Hospital Al-Ahli al-Arab di Gaza yang mengorbankan 500 nyawa rakyat Palestin disifatkan sebagai jenayah perang yang jelas.
Justeru, Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggesa, dunia terus melawan propaganda dan mendesak supaya Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu diheret ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk jenayah perang.
“Ini jenayah perang yang jelas. Israel telah mengebom Hospital al-Ahli al-Arab di Gaza yang mengorbankan 500 warga Palestin dari kalangan ibu, anak kecil, warga emas yang sakit!
“Laknat Allah ke atas Zionis atas pencabulan dan kezaliman yang gila ini!” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu menerusi hantaran di Facebook, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh menegaskan, sudah tiba negara Islam seluruh dunia bersatu padu dan bangkit membantu rakyat Palestin yang ditindas.
Katanya, sudah 75 tahun berlalu, namun mereka tetap terus dinafikan hak dan terus menerus ditindas.
“Di manakah pemimpin seperti Salehudin Al-Ayubi? Muhammad Al-Fateh? Khalid Al-Walid?
“Cukup cukuplah mereka ini diseksa di tanah air mereka sendiri,” katanya.