Puluhan lagi syahid, Israel bom kedai roti dan rumah di Gaza
Rejim tingkat serangan sasar kawasan pelarian, dekat hospital

GAZA, 3 Rabiulakhir 1445H, Rabu – Lebih 30 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan pengeboman artileri, udara dan laut di seluruh Semenanjung Gaza pada awal hari ini.
Sumber memberitahu agensi berita Wafa, penduduk terbunuh selepas beberapa rumah menjadi sasaran di utara Semenanjung Gaza, dan sekurang-kurangnya dua lagi syahid dalam pengeboman yang menyasarkan sebuah kedai roti di kem Nuseirat di tengah wilayah itu.
Menurut sumber, kedai roti terbabit menyediakan roti kepada penduduk kem dan pelarian dari kawasan utara Semenanjung Gaza.
Katanya, tiga terbunuh termasuk seorang kanak-kanak dalam pengeboman yang menyasarkan sebuah apartment kediaman di Khan Yunis, di selatan Gaza.
Serangan artileri, udara dan laut yang memuncak menyasarkan utara Gaza, khususnya kawasan Jabalia serta kem Nuseirat dan kejiranan Yarmouk di tengah bandar.
Ini termasuk, serangan bom di kawasan kejiranan Al-Zaytoun berhampiran Hospital Al-Ahli al-Arab yang menyebabkan ratusan orang terbunuh dan cedera.
Pengeboman itu juga menyasarkan rumah orang awam di kawasan selatan Semenanjung Gaza, Rafah dan Khan Yunis, menyebabkan beberapa penduduk terkorban.- Agensi