‘Saya tiada kaitan MYAirlines’
Hentikan politik murahan, ada pihak cuba cemar nama baik

BANGI, 3 Rabiulakhir 1445H, Rabu – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan tidak mempunyai kaitan dengan syarikat penerbangan, MYAirlines atau mana-mana pemegang sahamnya.
Beliau dalam kenyataan hari ini menafikan perkara itu selepas mendapati ada pihak cuba mengaitkannya dengan kemelut yang membabitkan syarikat penerbangan berkenaan.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau juga tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai latar belakang MYAirlines.
“Carian saya menunjukkan bahawa syarikat ini mendapat kelulusan bersyarat lesen perkhidmatan udara pada 22 Disember 2021 iaitu semasa saya tidak lagi menjadi Perdana Menteri.
“Penglibatan firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership (RDS) sebagai peguam bagi pihak pemegang saham syarikat MYAirlines tidak boleh dikaitkan dengan saya,” katanya.
Ini kerana, menurut Muhyiddin, RDS sebagai sebuah firma guaman berhak untuk mewakili sesiapa sahaja yang memerlukan khidmatnya.
“Saya percaya ada pihak-pihak tertentu yang cuba mencemarkan nama baik saya dengan membuat tuduhan jahat kononnya saya terbabit dengan syarikat ini.
“Hentikanlah politik murahan yang kotor ini,” katanya.
Terdahulu, berlaku kekecohan akibat kegagalan MYAirline meneruskan operasi sehingga menyebabkan para penumpangnya tergendala menaiki pesawat penerbangan.
MYAirline kemudiannya mengumumkan penggantungan dan ia dilaporkan tertakluk kepada penyusunan semua dan keupayaan syarikat memodali operasi.