Berita Utama

4 negeri perlu kekal prestasi untuk PAS terajui Kerajaan Persekutuan

PRU16 masa terbaik untuk PAS-PN kembali memerintah: Nik Amar

BANGI, 4 Rabiulakhir 1445H, Khamis – PAS perlu mengekalkan prestasi di empat negeri yang ditadbirnya iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu untuk dinilai pengundi sebelum diberi kepercayaan menerajui Kerajaan Persekutuan.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, landskap politik negara dijangka mencapai satu peringkat tiada parti yang mampu membentuk kerajaan dan PAS ketika itu akan menjadi pilihan.

“Dalam tempoh lima tahun ini merupakan satu tempoh yang penting, kita sudah menang empat negeri dan kita berjaya menafikan majoriti dua pertiga di Selangor.

“Ini adalah semua proses dan jika kita boleh membuktikan kemampuan mentadbir dengan baik di empat negeri, sudah pastinya akan menjadi model kepada dasar Islam yang kita bawa,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Terdahulu, beliau berucap pada Majlis Perasmian Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) Ke-64 di Shah Alam, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Amar juga mengingat semua pihak supaya memainkan peranan yang berkesan di dewan negeri terutama di Selangor.

“Pada pilihan raya akan datang adalah jelas PAS dan Perikatan Nasional (PN) merupakan pilihan jelas kepada pengundi,” katanya.

Beliau pada masa sama percaya pertembungan politik selepas ini hanya akan melibatkan antara PAS-PN dan DAP.

Katanya, ia disebabkan pengaruh parti-parti lain dilihat semakin menurun dan tidak lagi menjadi harapan rakyat.

“Pada Pilihan Raya Umum ke-15 sepatutnya PAS dan PN sudah boleh menerajui kerajaan, namun ditangguhkan sementara bagi membolehkan persiapan dibuat lebih rapi.

“Namun, ramai yakin pada PRU16 akan menjadi masa terbaik kepada PAS dan PN untuk kembali menerajui pentadbiran negara,” katanya

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button