Berita Utama

Anwar perlu jadi jaguh negara Islam dalam isu Gaza

Hantar notis pada OIC, desak sidang tergempar bantu Palestin

BANGI, 4 Rabiulakhir 1445H, Khamis – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) mendesak kerajaan segera menghantar notis kepada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), untuk mengadakan sidang tergempar bagi membolehkan usul menubuhkan tentera penyelamat OIC.

Langkah itu penting bagi membolehkan penyelamat memasuki Gaza untuk menyelamatkan rakyat di sana yang berterusan menjadi mangsa pengeboman dan senjata kimia rejim Israel, kata Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali.

“Langkah mewujudkan tentera OIC itu bukan bertujuan untuk berperang tetapi untuk menyelamatkan rakyat-rakyat Palestin.

“Setiap anggota OIC boleh menghantar 1,000 tentera bagi setiap negara dengan aset-aset yang perlu untuk menyelamatkan rakyat Palestin dan mempertahankan diri dari apa jua serangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kekejaman rejim pengganas semakin berterusan ekoran mendapat sokongan daripada Amerika Syarikat (AS) dan negara bersekutu di Barat.

Rakyat seluruh dunia sudah berdemontrasi membantah, mengecam dan mendesak rejim Israel supaya menghentikan kekejaman, namun tidak dipedulikan.

Atas sebab itu juga, Ibrahim mempersoalkan pendirian OIC yang sehingga kini masih gagal melakukan sebarang tindakan berkesan.

Justeru, beliau meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan keberanian, menjadi jaguh bagi negara Islam yang sebenar dan bukan sekadar harimau kertas atau pelakon politik dalam mengangkat isu di Gaza.

Katanya, Anwar perlu pamerkan tindakan tekad untuk menyelamatkan rakyat Palestin dan melindungi Masjid Al-Aqsa.

“Apakah PMX ada lima peratus jiwa dan semangat juang fisabilillah seperti Salahuddin Al-Ayubi sudah mencukupi atau sebenarnya budak suruhan Amerika.

“Buktikan mana satu yang benar dan ikhlas dengan kata-kata di bibir mulut bukan sekadar retorik, zahirkan diri sebagai pemimpin yang berani dan berintegriti,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button