Berita UtamaDunia

Bangladesh kutuk serangan ‘tak berperikemanusiaan’ di hospital Gaza

Janji hantar ubatan, bekalan kecemasan ke Gaza dalam masa terdekat

DHAKA, 4 Rabiulakhir 1445H, Khamis – Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina mengutuk sekeras-kerasnya serangan ‘tidak berperikemanusiaan’ Israel ke atas Gaza dan berjanji negaranya sentiasa menyokong Palestin.

Hasina menegaskan perkara itu ketika bertemu dengan wakil daripada 14 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), termasuk Palestin, Turkiye dan Arab Saudi di ibu pejabatnya di Dhaka.

Setiausaha Luar, Masud Bin Mome memberitahu pemberita bahawa Hasina berjanji akan menghantar ubat-ubatan dan bekalan kecemasan ke Palestin dalam masa terdekat.

Terdahulu, Kementerian Luar Bangladesh dalam kenyataan mengutuk serangan ‘ganas’ Israel ke atas Hospital Al-Ahli Al-Arabi di Gaza, yang disifatkan biadab kerana meragut ratusan nyawa orang awam, termasuk kanak-kanak.

“Serangan kejam ini adalah pelanggaran terang-terangan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan perjanjian yang merupakan jenayah berat terhadap kemanusiaan,” katanya.

Dilaporkan, lebih 600 rakyat Palestin maut dan ratusan lagi cedera dalam serangan udara Israel menyasarkan Hospital Al-Ahli Al-Arab.

Hospital itu berfungsi sebagai tempat perlindungan bagi ribuan penduduk Palestin yang meninggalkan kediaman mereka di utara Gaza.

Di Gaza, sekurang-kurangnya lima hospital menerima arahan pemindahan dari Israel.

Dilaporkan, kira-kira 3,478 penduduk Palestin syahid dalam serangan Israel di seluruh Semenanjung Gaza sejak konflik meletus pada 7 Oktober lalu.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button