Hamas hargai usaha tanpa henti Aman Palestin, GSPP untuk Gaza
Tetaplah konsisten bersolidariti, sokong rakyat Palestin

BANGI, 4 Rabiulakhir 1445H, Khamis – Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) menzahirkan penghargaan terhadap usaha tanpa henti Aman Palestin Berhad kepada rakyat Palestin, khususnya di Semenanjung Gaza.
Ketua Perhubungan Isu Palestin Luar Negara, Khalid Masy’al berkata, usaha Aman Palestin bukan hanya sewaktu penduduk Gaza teruk dikepung ketika ini, bahkan sejak bertahun lamanya.
“Hari ini kita gembira dapat berjumpa saudara-saudara kita dari Malaysia dan dapat merasakan solidariti rakyat Malaysia dalam perjuangan Palestin dan rakyatnya, terutama yang ditunjukkan oleh Aman Palestin serta Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP).
“Ini adalah bukti kesungguhan rakyat Malaysia dan mereka yang bekerja untuk tujuan ini. Kami menghargai apa yang telah mereka lakukan selama bertahun-tahun bukan hari ini, mereka sebenarnya memberikan sokongan kepada rakyat Palestin terutama penduduk Gaza,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu video yang dimuat naik Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin ketika mengadakan kunjungan hormat dengan pimpinan Hamas di Doha, Qatar.
Menerusi video itu, Khalid menegaskan isu Palestin adalah isu umat Islam dan kini Masjid Al-Aqsa berdepan ‘pengyahudian’ dan pencerobohan untuk membina kuil Sulaiman tapak suci berkenaan.
“Kami amat menghargai kunjungan ini dan usaha mereka sejak bertahun-tahun lalu sehingga hari ini, mereka tetap konsisten bersolidariti dengan rakyat Palestin, menyokong, membantu dengan segala bentuk sokongan dan dukungan.
“Dan kami menuntut mereka dan meminta lebih banyak dari itu. Terima kasih kepada mereka dan kami mengharapkan usaha yang lebih daripada mereka.
“Salam hormat daripada saya kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.