Berita UtamaDunia

Pegawai kanan AS letak jawatan, tak mahu subahat dengan Israel

Tentang dasar pentadbiran Joe Biden bekal senjata kepada rejim

WASHINGTON, 4 Rabiulakhir 1445H, Khamis – Seorang pegawai kanan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Josh Paul meletak jawatan tanda protes terhadap tindakan negara itu membekalkan senjata kepada tentera Israel.

Keputusan itu juga dibuat ekoran percanggahan dasar Presiden AS, Joe Biden yang menyokong jenayah genosid Israel ke atas Semenanjung Gaza.

Paul yang berkhidmat selama 11 tahun dalam biro hal ehwal politik-tentera berkata, peletakan jawatan itu dilakukan sebagai sebahagian daripada penentangan dalaman yang kuat terhadap sokongan padu diberikan pentadbiran Biden kepada sekutu terdekatnya di Timur Tengah itu.

Menerusi notis peletakan jawatannya di akaun Linkedln, Paul berkata, dia tidak boleh menyokong lebih banyak bantuan ketenteraan AS kepada Israel.

Dia bimbang negara itu mengulangi kesilapan lalu dan menegaskan enggan menjadi sebahagian daripada sejarah itu.

Paul turut menegaskan tidak mahu lagi meneruskan pekerjaan yang menyumbang kepada pembunuhan orang awam Palestin. 

Tegasnya, bantuan ketenteraan AS kepada Israel memberi negara haram itu ‘lampu hijau’ untuk melakukan apa sahaja yang dimahukan terhadap Gaza, tanpa mengira kerugian orang awam.

“Respons pentadbiran ini – dan sebahagian besar Kongres juga – adalah tindak balas impulsif yang dibina berdasarkan pengesahan berat sebelah, kemudahan politik, kebankrapan intelektual, dan inersia birokrasi,” kata Paul dalam catatannya di LinkedIn.

Terdahulu, Biden mempertahankan hak Israel kononnya atas dasar melindungi diri dan mendakwa memahami ‘kemarahan melampau’ untuk bertindak balas terhadap Gaza di sebalik serangan 7 Oktober.

Tetapi dia mendakwa: “Saya memberi amaran kepada anda (Israel) semasa anda merasakan kemarahan itu: jangan termakan olehnya. Selepas 9/11, kami marah di Amerika Syarikat. Semasa kita mengejar keadilan, kita juga melakukan kesilapan,” katanya.

Israel kemudian mendakwa, menerima permintaan Biden untuk membenarkan bantuan ke Semenanjung Gaza yang dikepung melalui Mesir selepas kebimbangan yang semakin meningkat mengenai bekalan yang terhad dan amaran mengenai krisis kemanusiaan.

Bagaimanapun, bantuan itu terhad kepada makanan, air dan ubat-ubatan dan tidak boleh digunakan oleh Hamas, kata pejabat Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button