Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Artikel KhasBerita Utama

Persoalan isu strategik perang Palestin-Israel

Sehingga kini tiada negara Islam berani hantar bantuan persenjataan, masih kira untung rugi

BEBERAPA isu strategik yang perlu difikirkan dałam perang Palestin-Israel.

1. Amerika Syarikat dan Israel mahu mengawal naratif perang Palestin-Israel kepada Israel-Hamas. Jika dilihat dalam media-media utama Barat mereka akan gunakan kata kunci ini. Tetapi apa yang lebih membimbangkan mereka, naratif tersebut telah berkembang daripada sekadar isu Palestin kepada isu umat Islam dan maruah orang Arab.

2. Pemimpin-pemimpin Arab gusar akan pengalaman semasa Arab Spring akan menimpa mereka, jika meneruskan dasar berkecuali atau bersekutu bersama Israel. Negara-negara seperti Mesir, Jordan dan Saudi telah mula mengeluarkan pandangan yang lebih lunak kepada Palestin.

3. Beberapa projek normalisasi yang sedang berjalan – terutama normalisasi Israel-Arab Saudi yang jika berjaya dilaksanakan, akan mengukuhkan projek Israel Raya – berjaya ditangguhkan.

4. Amerika Syarikat perlu memastikan Israel memenangi peperangan ini, untuk melindungi ‘air muka’ mereka selaku pemberi dana bantuan luar terbesar kepada Israel sejak 75 tahun yang lalu, atas dakwaan mengatakan Israel menjaga kepentingan strategik nasional Amerika di Timur Tengah. Amerika Syarikat harus memastikan ‘pelaburan mereka’ berbaloi atau bersedia menghadapi kerugian, ditambah dengan situasi ekonomi negara mereka yang menekan.

5. Russia mengunakan kesempatan ini atas tumpuan dunia beralih kepada teater peperangan di Ukraine kepada Timur Tengah. Russia akan mengandakan serangan dan usaha penjarahan ke atas wilayah-wilayah Ukraine.

6. Russia melihat peluang untuk meningkatkan pengaruh mereka di Timur Tengah, melalui kerjasama bersama Iran dan kumpulan-kumpulan anti-Barat. Mendanai kumpulan-kumpulan yang ingin meruntuhkan Barat serta memberi bantuan persenjataan dan ketenteraan.

7. China akan menjadi sebahagian pemain penting dalam usaha pembangunan-pembangunan infrastruktur melalui projek-projek Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) di Timur Tengah. Ini termasuk menjadi broker kepada perjanjian Iran-Arab Saudi baru-baru ini. China akan melihat kepada sentimen negara-negara Arab terhadap perang Palestin-Israel untuk mengawal kepentingan mereka di sana.

8. Sehingga kini, tiada negara Islam yang berani membuat pendirian untuk menghantar bantuan persenjataan dalam perang Palestin-Israel. Termasuklah dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab. Ramai pihak masih membuat perkiraan untung rugi.

9. Namun, kumpulan-kumpulan militia Syiah seperti Hezbollah di Lubnan, Iraq, Yaman serta Taliban di Afghanistan bersedia untuk memberi bantuan kepada Hamas dalam perang melawan Israel.

10. Hamas tiada pilihan besar untuk bermain dalam ruang ini, kecuali mendapat bantuan besar daripada Qatar melalui Al Jazeera untuk memberikan naratif memihak kepada mereka serta bantuan ketenteraan daripada Hezbollah dan Iran. Ramai pihak mempersoalkan tindakan ini, namun apa lagi pilihan yang ada apabila negara-negara Sunni menyepikan diri, akibat dirantai normalisasi Israel.

11. Hamas perlu memastikan isu Palestin ini hidup daripada terus dimatikan oleh projek Normalisasi Israel.

12. Usaha mereka untuk mendapatkan bantuan peperangan ini bertambah sulit apabila wakil Fatah yang menguasai kedutaan Palestin di negara-negara lain tidak menyalurkan bantuan kepada mereka dan Gaza. 

13. Persoalan seterusnya yang harus ditanyakan, apakah langkah intervensi yang harus dilakukan untuk mengeluarkan negara Islam daripada terus dirantai dan berpada dengan hanya memberi bantuan kemanusian?

14. Apakah masa hadapan konflik ini? Bilakah isu pembebasan Palestin ini akan bertukar daripada projek bantuan kemanusian, kepada projek realistik membebaskan Palestin?

COO IRIS Institute
Asyraf Farique

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button