Dr Mahathir calon PRK Kemaman? Tak munasabah
Keputusan muktamadkan calon dalam proses perbincangan

SHAH ALAM, 5 Rabiulakhir 1445H, Jumaat – Tidak munasabah untuk mencalonkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada 2 Disember, kata Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata, perbincangan bagi menamakan calon PRK itu masih dalam peringkat perbincangan.
“Dalam proses perbincangan (untuk muktamadkan calon).
“Tidak….tidak munasabah hendak timbulkan (cerita) berhubung calon PRK Kemaman… biarlah munasabah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar PAS Ke-69 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai calon PAS untuk PRK Kemaman yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 2 Disember depan.
Terdahulu, sebuah portal memetik sumber rapat Dr Mahathir mendakwa, PAS kemungkinan meletakkan bekas Perdana Menteri itu sebagai calon pada PRK Kemaman.
Laporan itu mendakwa rundingan berhubung perkara itu dibuat supaya peranan semak dan imbang terhadap kerajaan dapat dilakukan lebih berkesan.