Israel panggil balik diplomat di Turkiye
Konon takut jadi sasaran serangan penduduk tempatan

ANKARA, 5 Rabiulakhir 1445H, Jumaat – Israel memanggil balik semua diplomatnya dari Turkiye pada Khamis, termasuk Duta Besar Irit Lillian – kononnya bimbang menjadi sasaran penduduk tempatan.
Sebelum ini, Majlis Keselamatan Negara (NSC) Israel menggesa semua warga Israel di Turkiye meninggalkan negara itu secepat mungkin selepas menaikkan nasihat perjalanan ke tahap tertinggi, empat.
Tiga sumber yang mengetahui perkara itu memberitahu Middle East Eye bahawa diplomat itu pergi pada Khamis kerana bimbang isu keselamatan – bukan kerana krisis diplomatik antara kedua-dua negara.
NSC pada Selasa menasihatkan rakyat Israel untuk melaksanakan semua langkah berjaga-jaga yang perlu seperti meminimumkan kehadiran mereka di ruang awam dan mengelakkan perhimpunan.
Demonstrasi telah diadakan di Istanbul dan Ankara dalam beberapa hari kebelakangan ini, dengan perhimpunan berlaku di luar pejabat misi diplomatik Israel di kedua-dua bandar.
Himpunan itu selepas 13 hari serangan udara ke atas Gaza, sebuah kawasan kecil yang menempatkan lebih 2.3 juta penduduk Palestin.
Israel mula mengebom Gaza pada 7 Oktober apabila pejuang Palestin melancarkan serangan mengejut ke atas Israel, yang mengorbankan lebih 1,400 orang.
Serangan udara balas Israel telah membunuh lebih 3,500 rakyat Palestin, termasuk lebih 1,500 kanak-kanak dan 1,000 wanita.
Kira-kira sejuta orang telah kehilangan tempat tinggal dan terpaksa berlindung di hospital dan sekolah ketika Israel mengetatkan pengepungan di kawasan itu.
Sejak konflik meletus, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan telah berulang kali menawarkan untuk menjadi orang tengah dan membantu berunding untuk menamatkan permusuhan.
Hubungan antara Israel dan Turkiye bertambah baik akhir tahun lalu dengan keduanya bertukar duta berikutan kerjasama keselamatan dan perisikan selama bertahun-tahun.
Hubungan antara kedua-duanya mula memburuk pada 2011 apabila Turkiye mengusir duta Israel selepas laporan PBB mengenai serbuan Israel ke atas kapal bantuan Mavi Marmara ke Gaza pada 2010, yang membunuh sembilan warga Turkiye.
Keretakan itu makin baik pada 2016 apabila hubungan diplomatik penuh dipulihkan dan kedua-dua negara menghantar duta.
Ketegangan memuncak pada 2018 apabila tentera Israel membunuh berpuluh-puluh rakyat Palestin yang mengambil bahagian dalam protes Great March of Return di Gaza. – Agensi