Jordan bimbang ‘kemungkinan terburuk’ dalam perang Gaza
Usaha diplomatik tidak buahkan hasil

AMMAN, 5 Rabiulakhir 1445H, Jumaat – Jordan bimbang kemungkinan terburuk akan berlaku dalam perang Israel-Hamas, tanpa tanda-tanda kejayaan dalam usaha meredakan ketegangan, kata Menteri Luar, Ayman Safadi pada Khamis.
Dalam kenyataan pada sidang akhbar dengan rakan sejawatannya dari Jerman, beliau berkata, perang itu akan mempunyai ‘kesan bencana’ dan menggesa ‘melindungi wilayah itu daripada bahaya pengembangannya’.
“Semua petunjuk bahawa yang paling teruk akan datang. Malapetaka itu akan membawa akibat yang menyakitkan dalam tempoh akan datang.
“Keputusan untuk menamatkan perang bukan pada kami, ia dengan Israel dan kita mesti mengerahkan segala usaha untuk menamatkannya,” katanya sambil menambah bahawa usaha diplomatik tidak membuahkan hasil dalam menamatkan konflik.
Kebimbangan perang yang semakin meluas turut membayangi pertemuan antara Raja Jordan, Raja Abdullah dan Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi pada Khamis di Kaherah.
Dalam satu kenyataan selepas pertemuan itu, kedua-dua pemimpin itu berkata, mereka menolak pemindahan penduduk Palestin secara paksa dan menegaskan Israel ‘mengenakan hukuman kolektif’ ke atas penduduk Gaza dengan mengebom orang awam selepas serangan Hamas.
Di Amman, Safadi berkata, kerajaan itu akan berdepan ‘dengan segala caranya’ berhubung pemindahan besar-besaran rakyat Palestin yang mengakibatkan perubahan besar di rantau itu.
“Kami tidak akan menerima penyelesaian sedemikian. Ini adalah garis merah dan akan menjadi pengisytiharan perang,” katanya.
Serangan Hamas pada 7 Oktober lalu, mendorong Israel mengebom Semenanjung Gaza dalam serangan yang mengorbankan ribuan orang dan menyebabkan lebih sejuta kehilangan tempat tinggal. – Agensi