Lori bantuan ke Gaza tunggu di Lintasan Rafah
PBB perlukan 100 trak bantuan kemanusiaan di Gaza

AMMAN, 5 Rabiulakhir 1445H, Jumaat – Kira-kira 20 trak yang membawa bantuan yang sangat diperlukan – akan dibenarkan memasuki Gaza dalam beberapa hari akan datang.
Perjanjian membenarkan beberapa bekalan melalui Lintasan Rafah kini telah dicapai oleh Amerika Syarikat (AS) dan Mesir.
Bagaimanapun organisasi kemanusian menyatakan bantuan berkenaan masih belum mencukupi.
“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan sekurang-kurangnya 100 trak bantuan kemanusiaan diperlukan bagi membantu jutaan orang awam di Gaza,” kata Majlis Pelarian Norway, Shaina Low.
Manakala wakil daripada Program Makanan Dunia, Abeer Etefa berkata situasi di wilayah itu semakin kritikal.
“Bekalan makanan dan air bersih semakin kehabisan dan kebanyakan kedai roti telah menutup operasi,” katanya.
Sementara itu, Pesuruhjaya Agung agensi bantuan PBB UNRWA, Philippe Lazzarini berkata, sebanyak 500 trak lori telah memasuki Gaza sebelum peperangan berlaku.
Kira-kira 1.2 juta penduduk yang berada di wilayah itu bergantung makanan daripada UNRWA sebelum 7 Oktober lalu.
“Kemiskinan sangat tinggi di Semenanjung Gaza. Sebelum perang, keadaan rakyat di sini sangat terdesak – kini ia menjadi lebih tragis,” kata jurucakap PBB, Juliette Touma, di Amman. – Agensi