PAS mahu Malaysia lebih tegas beri tekanan isu Palestin
Kerajaan dilihat tak beri sokongan kuat kepada Palestin: Abdul Hadi

BANGI, 5 Rabiulakhir 1445H, Jumaat – Kerajaan perlu mencontohi negara-negara luar seperti Sudan, Lubnan dan Algeria yang lebih ke hadapan dalam menghadapi peperangan Israel-Palestin.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ketegasan itu perlu dizahirkan kepada pertubuhan antarabangsa bagi membolehkan tindakan undang-undang terhadap negara haram Israel diambil.
Katanya, langkah itu diyakini mampu membela Palestin daripada belenggu rejim negara penjajah tersebut.
“Ketika ini, kerajaan dilihat tidak memberikan sokongan kuat kepada kerajaan Palestin yang hebat diserang tentera Israel.
“Mungkin disebabkan masih terikat dengan resolusi yang dibuat Amerika Syarikat (AS) dan negara Barat berhubung resolusi pendamaian di antara negara berkenaan,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini
Abdul Hadi berkata, meskipun resolusi itu dibuat namun sehingga kini rejim negara haram itu tidak menghormati semua perjanjian berkenaan.
Malah, katanya, Israel masih memindahkan rakyat mereka ke Palestin secara haram.
“Rakyat Palestin pula dihalau daripada rumah mereka. Israel berbuat demikian bagi menjayakan agenda Zionis mereka,” tegasnya.
Terbaharu, rejim negara haram itu menyasarkan sekolah kendalian Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Khan Younis.
Situasi getir itu menyebabkan ratusan jadi mengsa termasuklah bayi, kanak-kanak dan wanita yang syahid angkara bom negara haram tersebut.