Tebing Barat terus berdarah
83 rakyat Palestin terbunuh akibat tembakan tentera rejim Zionis

RAMALLAH, 6 Rabiulakhir 1445H, Sabtu – Seramai 83 rakyat Palestin terbunuh akibat tembakan tentera Israel di Tebing Barat yang diduduki sejak 7 Oktober lalu.
Kementerian Kesihatan mengesahkan, mangsa terbaharu merupakan dua remaja lelaki Palestin – Suhaib Iyad Muhammad Al-Sous, 15, di bandar Beitunia dan Uday Fawaz Mansour berusia 17 tahun di bandar Huwara.
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin dalam satu kenyataan berkata, anggotanya pada Jumaat berurusan dengan puluhan korban dalam konfrontasi dengan tentera Israel di pelbagai bandar Tebing Barat, termasuk 24 kecederaan akibat peluru hidup.
Tebing Barat menyaksikan ketegangan yang semakin meningkat dan konfrontasi lapangan antara rakyat Palestin dan tentera Israel seiring dengan kemerosotan keadaan di Semenanjung Gaza.
Konflik di Gaza, di bawah pengeboman dan sekatan Israel sejak 7 Oktober, bermula apabila Hamas memulakan Operasi Taufan Al-Aqsa, serangan mengejut pelbagai serampang yang termasuk pelancaran roket bertubi-tubi dan penyusupan ke Israel melalui darat, laut dan udara.
Katanya, tindakan itu sebagai membalas dendam terhadap penyerbuan Masjid Al-Aqsa dan keganasan yang semakin meningkat oleh peneroka haram Israel.
Tentera Israel kemudian melancarkan operasi terhadap sasaran Hamas di Semenanjung Gaza.
Gaza sedang mengalami krisis kemanusiaan yang teruk, tanpa bekalan elektrik sementara kehabisan bekalan air, makanan, bahan api dan perubatan.
Sekurang-kurangnya 4,137 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza, manakala angka kematian di pihak rejim Zionis Israel berjumlah lebih 1,400 orang.- Agensi