TH beri amaran taktik baharu scammer
Pendeposit kena hati-hati tak mudah percaya tawaran pelaburan lumayan

BANGI, 6 Rabiulakhir 1445H, Sabtu – Lembaga Tabung Haji (TH) meminta orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan tipu helah yang dilakukan oleh scammer.
TH dalam satu kenyataan berkata, terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan taktik di mana mereka mengiklankan skim pelaburan di media sosial seperti Facebook dan TikTok.
“Iklan-iklan ini akan dihubungkan dengan aplikasi WhatsApp untuk terus memperdaya orang ramai dengan menjanjikan keuntungan tinggi dan pantas.
“Orang ramai terutamanya pendeposit TH perlu berhati-hati untuk tidak mudah percaya dan terjerat dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan menerusi skim-skim meragukan,” katanya.
Katanya lagi, TH sentiasa memberi peringatan dan nasihat berkaitan perkara ini kepada para pendeposit di platform-platform komunikasi rasmi TH.
“Untuk sebarang pertanyaan, anda boleh hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919,” katanya.