Peserta Freedom For Palestin kecewa, terkesan penganjur label ‘Zionis Israel’
Berulang kali beri amaran supaya tidak laungkan kalimah ‘Allahuakbar’

KUALA LUMPUR, 7 Rabiulakhir 1445H, Ahad – Rata-rata yang menghadiri Himpunan Freedom For Palestine di Dataran Merdeka di sini, hari ini meluahkan rasa kecewa dan berang terhadap penganjur yang bersikap kurang ajar terhadap peserta.
Himpunan itu dianjurkan Viva Palestina Malaysia (VPM) dan MyCARE bagi menunjukkan tanda solidariti kepada Palestin.
Namun, apa yang mengejutkan adalah apabila Pengerusi VPM, Datuk Dr Musa Mohd Nordin melabelkan peserta yang mengangkat plakad ‘Netanyahu Penjenayah Perang’ bersikap seperti Zionis Israel.
Seorang penyokong yang hanya dikenali Syed Izzat Hussain berkata, dia sangat terkesan selepas penganjur himpunan berkenaan menggunakan pentas dan menuduhnya bersikap Zionis Israel ketika dia memegang plakad tersebut.
Walhal, kehadirannya di himpunan tersebut adalah sebagai tanda solidariti kepada Palestin dan keberanian menentang kezaliman Zionis.
“Kami di sini bersama ahli keluarga lain untuk menyertai secara aman untuk perhimpunan Palestin di Dataran Merdeka.
“Sangat kecewa dengan penganjur @vivapalestinamy terutamanya Dr Musa, menggunakan pentasnya untuk menghina kami, hanya kerana kami memegang plakad ‘Netanyahu Penjenayah Perang’.
“Memanggil kami “Zionis Israel” hanya kerana mengangkat plakad berkenaan,” katanya dalam tulisan di Instagram, hari ini.
Lebih mengecewakan, katanya, apabila penganjur juga memberi amaran beberapa kali supaya tidak melaungkan ‘Allahuakbar’ dengan alasan perhimpunan berkenaan disertai pelbagai lapisan rakyat dari kaum berbeza di negara ini.
“Ini adalah demonstrasi pertama yang paling lembik yang pernah saya hadiri.
“Penganjur juga memberi amaran berkali-kali supaya tidak melaungkan “Allahuakbar”, mengatakan ia adalah perhimpunan yang dihadiri oleh seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Syed Izzat turut mempersoalkan sama ada menjadi kesalahan untuk melaungkan kalimah ‘Allahuakbar’ di negara majoriti Islam ini sehingga terpaksa membuat larangan sedemikian.
Tegas beliau laungan tersebut bukan memaksa peserta bukan Islam yang hadir di perhimpunan berkenaan untuk berhijrah menjadi Islam.
“Kebodohan apakah ini? Awat kalau laung Allahuakbar, kita paksa yang non-muslim untuk laung sama kah? Kita paksa mereka masuk Islamkah,” soalnya lagi.
Lelaki itu mendakwa, tindakan yang dilakukan penganjur berkenaan menunjukkan mereka seolah-olah takut dengan Zionis meskipun berada di tanah air sendiri.
Berikutan itu, dia menggesa Viva Palestina untuk membuat permohonan maaf secara terbuka atas kata-kata biadab yang dilemparkan terhadapnya.
Syed Izzat berkata, sepatutnya penganjur mencontohi masyarakat di luar negara khususnya di United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) yang bebas melakukan demontrasi aman tanpa rasa takut dan membenci antara satu sama lain.
“Menyertai perhimpunan aman di sini secara beramai-ramai bukan untuk menimbulkan kebencian atau apa-apa.
“Sebaliknya hadir untuk menyatakan apa yang rakyat Malaysia boleh lakukan walaupun berada jauh daripada bumi Palestin,” katanya.
Sementara itu, pempengaruh di laman X (dulu dikenali sebagai Twitter), @JatIkhwan menegur sikap segelintir pemimpin yang hadir untuk bersolidariti namun duduk di tempat yang dikhaskan.
“Selain yang duk panggil peserta sebagai Zionis tu, aku nak tegur juga yang bersolidariti tapi ada tempat duduk untuk VVIP? Buat malu kat negara lain je. Bella Hadid taraf antarabangsa itu pun siap turun sama pakai keffiyeh dengan orang ramai. Punah,” katanya.
Antara yang dilihat duduk di kerusi khas tersebut adalah Menteri Komunikasi, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar dan selebriti, Kavitha Sidhu.