Annuar Musa calon paling layak wakili PAS di Kemaman
Strategi terbaik perkukuh barisan pembangkang di Parlimen

BANGI, 8 Rabiulakhir 1445H, Isnin – Pemerhati politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah meminta pimpinan tertinggi PAS mempertimbang untuk mencalonkan Tan Sri Annuar Musa dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.
Beliau berpandangan bahawa mencalonkan bekas Ahli Parlimen Ketereh itu adalah strategi terbaik untuk PAS dan Perikatan Nasional (PN) mempertahankan kerusi Kemaman, sekali gus meneguhkan barisan anggota pembangkang di Parlimen.
Ridhuan Tee percaya Annuar Musa adalah calon yang paling layak mewakili PAS di Kemaman, selari dengan pengalaman serta ketokohannya sebagai pemimpin dan ahli Parlimen sebelum ini.
“Bukan calon sedia ada tidak layak dalam PAS, semua calon layak belaka. Tetapi dalam konteks hari ini, kita memerlukan calon benar-benar berkaliber dan berwibawa.
“Pasti akan menggoncangkan Parlimen, di kala PH-BN ‘sibuk’ memancing Ahli Parlimen Bersatu. Nak pancing Ahli Parlimen PAS, tak bolehlah.
“Dalam PAS, wala’ ke atas parti sangat kuat, ditambah dengan baiah,” katanya dalam tulisan di ruangan Kolumnis Ismaweb.net, hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi Parlimen Kemaman, Terengganu pada 2 Disember ini, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 18 November dan 28 November.
PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lepas yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ia selepas pihak pempetisyen Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.
Pada 3 Oktober lepas, PAS memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen Parlimen Kemaman yang membatalkan kemenangan parti itu.
BACA TULISAN PENUH PROF DR MOHD RIDHUAN TEE DI RUANGKAN KOLUMNIS ISMAWEB.NET
https://ismaweb.net/2023/10/23/annuar-musa-perlu-jadi-calon-pas-prk-parlimen-kemaman/