Gaza kehabisan bahan api dalam masa tiga hari
UNRWA gesa pihak punyai pengaruh segera benarkan bekalan masuk

GAZA, 8 Rabiulakhir 1445H, Isnin – Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) memaklumkan bahawa Semenanjung Gaza akan kehabisan bahan api dalam masa tiga hari.
Ketua Pesuruhjayanya, Philippe Lazzarini dalam kenyataan bertulis berkata, ketiadaan bahan api akan ‘lebih mencengkam’ penduduk Gaza.
“Tanpa bahan api, tidak akan ada bantuan kemanusiaan,” katanya.
Menurutnya, tanpa bahan api, mereka akan mengecewakan penduduk Gaza yang keperluannya semakin meningkat mengikut jam, di bawah pengawasan pihaknya.
“Ini tidak boleh dan tidak sepatutnya berlaku.
“Saya menyeru semua pihak dan mereka yang mempunyai pengaruh ke atas mereka untuk segera membenarkan bekalan bahan api ke Semenanjung Gaza dan memastikan bahan api digunakan bagi mengelakkan keruntuhan tindak balas kemanusiaan,” katanya.
Konflik di Gaza, di bawah pengeboman dan sekatan Israel sejak 7 Oktober, bermula apabila Hamas memulakan Operasi Taufan Al-Aqsa, serangan mengejut pelbagai serampang yang termasuk pelancaran roket bertubi-tubi dan penyusupan ke Israel melalui darat, laut dan udara.
Katanya, pencerobohan itu sebagai membalas dendam terhadap penyerbuan Masjid Al-Aqsa dan keganasan yang semakin meningkat oleh peneroka Israel.
Tentera Israel kemudian melancarkan operasi terhadap sasaran Hamas di Semenanjung Gaza.
Sekurang-kurangnya 4,651 rakyat Palestin, termasuk 1,873 kanak-kanak, terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza, manakala angka itu berjumlah lebih 1,400 orang di Israel. – Agensi