Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Ketua Pemuda UMNO bidas penganjur larang peserta bertakbir

Penganjur disyor buat himpunan di pejabat sendiri, sesama mereka sahaja

BANGI, 8 Rabiulakhir 1445H, Isnin – “Kalau nak bertakbir pun tidak boleh, saya cadangkan penganjur himpunan untuk rakyat Palestin ini buat himpunan di pejabat NGO mereka sendiri dan sesama mereka sahaja.”

Demikian kata Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh dipercayai mengecam penganjur perhimpunan ‘Freedom With Palestine’ yang diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur semalam.

Menerusi hantaran di akaun Facebook hari ini, beliau menegaskan bahawa Islam merupakan agama Persekutuan justeru sebarang halangan untuk melaungkan takbir adalah sangat tidak munasabah.

“Maka siapa anda mahu menghalang takbir dilaungkan,” katanya.

Terdahulu, rata-rata yang menghadiri himpunan ‘Freedom For Palestine’ meluahkan rasa kecewa dan berang terhadap penganjur yang bersikap kurang ajar terhadap peserta.

Peserta mendakwa, mereka tidak dibenarkan melaungkan ‘Allahuakbar’ serta melayangkan plakad yang menggelar Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebagai ‘penjenayah perang’.

Himpunan itu dianjurkan Viva Palestina Malaysia (VPM) dan MyCARE bagi menunjukkan tanda solidariti kepada Palestin.

Susulan kontroversi itu, Pengerusi VPM, Datuk Dr Musa Mohd Nordin menjelaskan laungan takbir bukan satu isu.

Menurutnya, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin bertakbir ketika berucap.

“MC (pengacara majlis) hanya mengingatkan bahawa ini adalah perhimpunan berbilang agama dan kita patut membuat laungan yang semua orang boleh sertai.

“Ramai yang bertakbir kami tidak menghalangnya. Namun demikian, saya difahamkan terdapat beberapa pihak yang kurang berpuas hati dengan cara kelangsungan perhimpunan kami. Oleh yang demikian, bagi seluruh pihak VPM, kami memohon maaf terhadap segala kekurangan kami,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button