Rejim haram serang dua sel Hizbullah di Lubnan
Pertempuran dua pihak korbankan seorang pejuang di sempadan

BEIRUT, 8 Rabiulakhir 1445H, Isnin – Pesawat Israel menyerang dua sel Hizbullah – yang merancang untuk melancarkan peluru berpandu dan roket anti-kereta kebal ke arah rejim haram – di Lubnan pagi Isnin, kata tenteranya.
Serangan berlaku ketika pertempuran meletus merentasi sempadan perkongsian kedua-dua negara.
Hizbullah berkata, salah seorang pejuangnya terbunuh, tanpa memberi butiran lanjut.
Agensi berita Kerajaan Lubnan NNA melaporkan, serangan udara Israel berlaku di pinggir selatan Aitaroun, di selatan Lubnan. Ia juga tidak memberikan butiran lanjut.
Sementara itu, tentera Israel berkata, serangannya menyasarkan satu sel terletak bersebelahan dengan bandar Mattat, Israel, kira-kira 13 km barat daya Aitaroun.
Katanya, satu lagi berada jauh ke utara di kawasan Ladang Shebaa yang dipertikaikan.
Tentera berkata, ia menyerang kedua-dua sel sebelum mereka melepaskan tembakan.
Tidak jelas sama ada kedua-dua pihak merujuk kepada insiden sama.
Israel kemudian mendakwa, ia menyerang lebih banyak sasaran Hizbullah, termasuk kompaun dan pos pemerhatian.
Tiada laporan segera mengenai kecederaan atau kerosakan.
Hizbullah – yang disokong Iran – berbalas serangan dengan Israel di sempadan – dengan kekerapan yang semakin meningkat – sejak Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) melakukan serangan mengejut ke atas Israel pada 7 Oktober dan Israel bertindak balas dengan operasi ke atas Gaza.
Israel telah bergerak untuk memindahkan 42 komuniti di sepanjang bahagian utaranya dengan Lubnan susulan pertempuran, yang dikatakan Hizbullah membunuh sekurang-kurangnya 27 pejuangnya sejak 7 Oktober lalu.
Sumber keselamatan Lubnan berkata, 11 pejuang dengan kumpulan Palestin di Lubnan – sekutu Hizbullah – terbunuh di kawasan sempadan, bersama empat orang awam.
Menurut laporan tentera Israel, sekurang-kurangnya lima askar Israel dan seorang awam telah terbunuh di sebelah sempadan Israel. – Agensi