Turkiye hantar lebih banyak bekalan bantuan ke Gaza
20 pakar profesional penjagaan kesihatan turut berada dalam pesawat bawa bekalan perubatan

ISTANBUL, 8 Rabiulakhir 1445H, Isnin – Turkiye menghantar lebih banyak bekalan bantuan ke Gaza melalui pesawat tentera, kata Kementerian Pertahanan pada Isnin, sehari selepas pesawat presiden yang membawa bekalan perubatan tiba di Mesir.
“Kami terus menghulurkan bantuan kami ke Gaza. Kami telah mula memuatkan pakej bantuan, kebanyakannya mengandungi bekalan perubatan.
“Sebaik sahaja pesawat itu bersedia, ia akan berlepas ke Mesir. Sebanyak empat urutan dirancang untuk menghantar bahan bantuan ke wilayah itu,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.
Sebuah pesawat Presiden Turkiye – sarat dengan ubatan dan bekalan perubatan yang dituju ke Semenanjung Gaza – berlepas dari Ankara ke ibu negara Mesir, Kaherah pada Ahad.
Seramai 20 pakar profesional penjagaan kesihatan turut berada dalam pesawat itu.
Konvoi kedua trak bantuan memasuki Semenanjung Gaza pada Ahad, sehari selepas 20 trak memasuki kawasan itu.
Kedua-dua penghantaran masuk dari Mesir melalui persimpangan Rafah, satu-satunya laluan ke Gaza yang tidak dikawal oleh Israel. – Agensi