Bantuan kewangan haji golongan memerlukan diteruskan tahun depan
TH bakal tambah baik proses klasifikasi jemaah haji

KUALA LUMPUR, 9 Rabiulakhir 1445H, Selasa – Bantuan kewangan haji secara bersasar kepada golongan yang memerlukan akan diteruskan pada tahun depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau berkata, inisiatif Lembaga Tabung Haji (TH) itu selaras hasrat kerajaan untuk menstrukturkan semula subsidi.
Katanya, kadar bantuan haji ditetapkan berdasarkan kategori pendapatan individu dan bukan isi rumah.
Justeru, dasar klasifikasi pendapatan jemaah haji yang terpilih mengikut kategori B40, M40 dan T20 berasaskan kerjasama dengan agensi kerajaan untuk menyemak silang maklumat bakal haji dengan maklumat data penerima bantuan kerajaan yang ada.
“TH juga mengambil maklum usaha kerajaan membina pangkalan data utama iaitu PADU (Sistem Pangkalan Data Utama) yang akan menggabungkan maklumat sosioekonomi setiap isi rumah dalam usaha menyalurkan secara adil dan bersasar.
“Untuk itu sekiranya diberikan ruang dan peluang, TH akan mempertimbangkan cara baharu untuk menambah baik proses mengklasifikasikan bakal jemaah haji bagi tujuan pemberian bantuan kewangan haji bersasar, selari dengan hasrat kerajaan,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan seramai 67 jemaah B40 dan M40 telah menolak bantuan kewangan haji yang layak diperoleh sebagai Dhuyufurrahman pada musim haji 1444H.
Jemaah ini sebaliknya membayar kos penuh haji kerana berpegang kepada syarat istitaah atau kemampuan dalam kewajipan menunaikan ibadah itu.
“Selain itu, seramai 396 jemaah B40 dan M40 pula mengambil inisiatif mengurangkan kebergantungan mereka terhadap bantuan kewangan haji, dengan membuat pembayaran tambahan antara RM1,000 hingga RM12,000 berbanding bayaran haji minima yang dikenakan,” katanya.
Mengulas kos haji, Mohd Na’im berkata, TH telah berusaha untuk mengawal peningkatan kos dengan memeterai beberapa perjanjian kontrak jangka panjang untuk penerbangan, penginapan, sajian makanan serta beberapa perkhidmatan di Arab Saudi.
“Dengan cara ini, harga dapat ditetapkan untuk satu tempoh masa dan tidak dinaikkan setiap tahun,” katanya.
Peningkatan kos haji terdedah kepada faktor di luar kawalan TH termasuk kadar inflasi dan percukaian di Arab Saudi, pertukaran mata wang ringgit berbanding Riyal dan Dolar Amerika Syarikat serta projek pembesaran yang berterusan di Makkah dan Madinah.