KKM batal 5 produk kosmetik ada racun berjadual
Penjual, pengedar diarah henti penjualan serta-merta

BANGI, 9 Rabiulakhir 1445H, Selasa – Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan lima produk kosmetik kerana dikesan mengandungi racun berjadual.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, produk itu adalah Skinsister Babyskin Treatment Cream, Sahaana Fairness Cream, Skinmade AZ & Salicylic Acid + Licorice Root Serum, Glowing Night Cream dan Glowing Herba Night Cream.
Beliau berkata, kesemua produk kosmetik itu dikesan mengandungi racun berjadual seperti merkuri, asid azelaik, hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17-valerate.
Susulan itu, notifikasi produk-produk kosmetik terbabit telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak lagi dibenarkan dijual di Malaysia.
“Merkuri dilarang di dalam kosmetik kerana ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.
“Ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr Muhammad Radzi berkata, bagi produk yang mengandungi asid azelaik, hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17-valerate perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.
Beliau berkata, penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan itu tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan tidak diingini seperti kegatalan, kulit menggelupas, kesan kemerahan, menghalang proses pigmentasi, kulit muka menjadi nipis dan meningkatkan risiko kanser kulit.
“Penjual dan pengedar produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.
“Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya.
Katanya, individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama, dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya.
“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
“Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,” katanya.
Beliau berkata, orang awam digalakkkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.