Berita Utama

OIC, Liga Arab hanya cakap kosong isu Palestin

Tiada satu pun tindakan diambil sehingga hari ini: Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 9 Rabiulakhir 1445H, Selasa – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kesal dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab kerana hanya bercakap kosong dalam mencari penyelesaian tuntas terhadap isu Palestin.

Walhal, OIC dan Liga Arab sepatutnya menunjukkan kepada dunia bahawa negara Islam bersatu dalam mengekang kekejaman berterusan rejim Zionis terhadap penduduk Palestin.

“Sehingga hari ini, kita kesal tiada satu pun tindakan diambil OIC dan Liga Arab kecuali hanya bercakap kosong. Sepatutnya OIC dan Liga Arab menunjukkan kepada dunia negara Islam bersatu.

“Satu tindakan tegas perlu diambil OIC dan Liga Arab, konflik Palestin dan Israel ini perlu dinoktahkan segera,” katanya berucap pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Pada Rabu lalu, BH melaporkan kenyataan akhir Mesyuarat Luar Biasa Tergempar Jawatankuasa Eksekutif OIC Peringkat Menteri-Menteri Luar Negeri di Jeddah, Arab Saudi menekankan peranan penting komuniti global dalam menghalang pengusiran rakyat Palestin dari tanah air mereka.

Kenyataan itu juga menekankan keperluan segera menangani krisis pelarian Palestin dan keperluan untuk penyelesaian menyeluruh terhadap konflik sejajar dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Inisiatif Damai Arab.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button