Sidang Tergempar PBB bincang perang Palestin-Israel disambung Khamis ini
Sidang khas kali pertama pada April 1997, kali terakhir pada Jun 2018

NEW YORK, 9 Rabiulakhir 1445H, Selasa – Sidang Tergempar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkenaan konflik Israel-Palestin akan disambung semula pada 26 Oktober, kata Presidennya Dennis Francis pada Isnin.
Dennis Francis berkata, beliau menerima surat daripada Duta Jordan ke PBB, Mahmoud Hmoud dan Duta Mauritania ke PBB Sidi Mohamed Laghdaf atas kapasiti masing-masing sebagai pengerusi Kumpulan Arab dan pengerusi Pertubuhan Kerjasama Islam bertarikh 19 Oktober, meminta agar sesi khas itu disambung semula secepat mungkin.
Beliau turut menerima surat daripada wakil Nicaragua, Rusia, Syria, Bangladesh, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Maldives, Timor-Leste, Vietnam, dan Brunei, mengenai perkara yang sama.
“Saya akan mengadakan mesyuarat pleno ke-39 Sidang Khas Tergempar Perhimpunan Agung pada Khamis, 26 Oktpber 2023,” kata Francis.
Sidang Khas itu telah diadakan buat kali pertama pada April 1997 dan kali terakhir pada Jun 2018.