VIDEO | Briged Al-Qassam bebaskan dua tawanan wanita Israel
Rejim negara haram abaikan tawaran lepaskan tahanan

GAZA, 9 Rabiulakhir 1445H, Selasa – Sayap ketenteraan Hamas, Briged Al-Qassam membebaskan dua tahanan wanita Israel, malam tadi atas sebab-sebab kemanusiaan yang mendesak.
Jurucakap rasmi Al-Qassam, Abu Ubaidah berkata, melalui pengantaraan Mesir, pihaknya membebaskan kedua-dua tawanan, Nurit Yitzhak dan Yochved Lifshitz.
Ini kerana, Israel telah beberapa hari menolak untuk menerima meraka sejak Jumaat lalu, dan masih mengabaikan fail tahanannya.
“Kami telah memutuskan untuk membebaskan mereka atas alasan kemanusiaan dan walaupun pendudukan melakukan lebih daripada 8 pelanggaran prosedur yang telah dipersetujui bersama pengantara, yang akan dipatuhi oleh pendudukan pada hari ini untuk menyelesaikan proses penyerahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam video yang disiarkan Briged Al-Qassam malam tadi, kedua-dua tahanan wanita itu dilihat diberi layanan yang baik serta disediakan makan dan minum sambil berbual bersama mereka.
Di penghujung video, sebelum pergi mengikut pasukan pengantara (petugas kesihatan), salah seorang tahanan dilihat mahu bersalam dengan anggota Al-Qassam.
Tawanan Briged Al-Qassam yang dilepaskan sebelum ini juga sering kali menceritakan bagaimana mereka tidak diapa-apakan oleh para mujahidin dan dilayani dengan sifat penuh perikemanusiaan.
Tawanan akan diberi jaminan untuk tidak diapa-apakan kerana Briged Al-Qassam adalah muslim.
Menurut etika peperangan dalam Islam, kanak-kanak, wanita, warga tua dilarang daripada dibunuh.
“Kami menunaikan wasiat Rasulullah SAW sebagai Muslim Mujahidin, kami tidak membunuh wanita, orang tua, kanak-kanak dan ahli ibadat di tempat ibadat mereka.
“Kami hanya membunuh tentera dan melepaskan wanita serta kanak-kanak,” kata Mujahidin Al-Qassam baru-baru ini.