Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita UtamaDuniaIstimewa

Fatah tak mampu bebaskan penjajahan Palestin: GSPP

Hamas, kumpulan sealiran lebih sesuai diangkat hero dan pemerintah sebenar Palestin?

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 10 Rabiulakhir 1445H, Rabu – Kebisuan parti politik Fatah selama berbelas hari dalam isu peperangan dahsyat di Gaza mengundang kemarahan orang ramai.

Selepas serangan roket ke atas hospital Gaza minggu ini, ratusan rakyat Palestin turun ke jalanan dalam satu demonstrasi yang jarang berlaku sambil menjerit “Abbas, letak jawatan!” sebelum dileraikan pasukan keselamatan.

Presiden, Mahmoud Abbas telah memimpin Pihak Berkuasa Palestin (PA) selama 18 tahun tetapi hanya mempunyai kuasa terhad ke atas Tebing Barat dan tidak ada kuasa ke atas Gaza selepas dikalahkan secara dahsyat oleh Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) pada 2007.

PA sepatutnya menjadi pihak pertama yang melangkah untuk memperjuangkan negara Palestin yang merdeka, tetapi rundingan itu telah terhenti selama lebih sedekad.

Abbas tidak berdaya menentang perkembangan pesat penempatan haram Israel dan kawalan ketenteraan di Tebing Barat dan merampas Baitulmaqdis timur, kedua-duanya diduduki sejak 1967.

Mengulas keadaan itu, Pengerusi Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, Fatah dari dulu hingga sekarang tidak mampu untuk mewakili umat Islam Palestin.

Bukan sahaja gagal membela nasib mereka, malah Fatah yang mengetuai Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) tidak mampu membebaskan Palestin daripada penjajahan sepenuhnya. 

“Usaha seumpama ini perlukan kekuatan tapi kekuatan itu tidak ada pada Fatah,” kata Ustaz Muhammad Fauzi ketika dihubungi Ismaweb.net.

Beliau berkata, pendirian pemimpin Fatah berkenaan penyelesaian isu Palestin dari dahulu lagi dilihat konsisten kepada penyelesaian dua negara (two state solution). 

“Mereka mungkin pernah menyembunyikan idea formula ini sekali sekala untuk survival politik dan demi sokongan umat Islam sahaja. 

“Tetapi pendirian mereka masih kekal dengan formula itu,” katanya.

Sehubungan itu, Ustaz Muhammad Fauzi yang juga Felo Kanan Pusat Kajian Pemikiran dan Peradaban Ummah (PEMIKIR) berkata, kepimpinan Palestin perlu diubah dan dunia perlu mendesak supaya pihak yang sebenar-benarnya memperjuangkan kebebasan Palestin diangkat.

“Sudah sampai masanya untuk Palestin dan umat Islam seluruh dunia menaikkan satu entiti baru yang betul-betul mahu dan mampu membebaskan Palestin dari penjajahan sepenuhnya dengan mengusir Yahudi kembali ke tempat asal mereka lalu menenggelamkan terus negara haram Israel.

“Mungkinkah gabungan Hamas dan kumpulan lain yang sealiran dengannya lebih sesuai untuk diangkat sebagai hero dan pemerintah sebenar Palestin? Fakta dan sejarah nampaknya menuju ke arah itu,” katanya lagi.

Semalam, iaitu hanya pada hari ke-18 serangan rejim pengganas Israel di Gaza – Presiden Palestin, Mahmoud Abbas baru membuat kenyataan menggesa supaya ‘gencatan senjata sepenuhnya’ di Semenanjung Gaza dilakukan dan pembukaan koridor kekal untuk penghantaran bantuan kemanusiaan kepada penduduk di kawasan pinggir pantai dilaksanakan.

Abbas membuat kenyataan itu ketika pertemuannya dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron yang melawat di ibu pejabat presiden di Ramallah, lapor agensi berita rasmi Palestin WAFA.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button