Jangan apologetik sangat, istilah kafir tak bercanggah Islam
Kenapa muslim begitu sensitif dengan perkataan dalam al-Quran?

BANGI, 10 Rabiulakhir 1445H, Selasa – Firdaus Wong Wai Hung menyifatkan polemik isu perkataan kafir seperti lagu hari kebangsaan yang saban tahun dimainkan.
Menerusi hantaran di Facebook, pendakwah bebas itu berkata, penggunaan istilah ini tidak perlu dibangkitkan selagi tidak bercanggah dengan Islam.
Justeru baginya, tidak wajar mengatakan pihak yang memanggil kafir itu sebagai kasar atau tidak berhikmah kerana ia adalah perkataan yang Allah gunakan dalam al-Quran bagi membezakan mereka yang tidak dan belum beriman.
“Tak perlu apologetik sangat dan sambil itu menuduh orang yang gelarkan kafir sebagai tidak berhikmah dan kasar. Selagi kaedah dakwah itu tidak bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah, Bismillah.
“Saya tidak risau belum muslim tidak selesa dipanggil kafir tetapi saya lebih risau kenapa muslim jadi begitu sensitif dan apologetik dengan perkataan yang Allah sendiri gunakan dalam al-Quran. Takut mereka jauh dari Islam? Takkan mereka salah faham tentang Islam?
“Dengan anda tidak pernah memanggil mereka dengan gelaran kafir, berapa ramai yang telah dekat dengan Islam? Berapa ramai yang jadi lebih selesa dengan Islam dan tidak Islamfobik?” soalnya.
Beliau turut mempersoalkan berapa ramai yang tidak dipanggil kafir ke depan mempertahankan Islam kerana mereka rasa selesa dengan perkataan bukan muslim.
“Bagilah apa alasan sekalipun, perkataan kafir itu wujud dan digunakan dalam al-Quran oleh Allah SWT.
“Jangan bila timbul isu gelaran kafir, barulah masing-masing nak menonjolkan siapa yang terpaling dakwah,” katanya.