Semua surat rasmi wajib guna bahasa Melayu
Jangan cuba remehkan, arahan jelas tak layan surat selain Bahasa Kebangsaan

CYBERJAYA, 10 Rabiulakhir 1445H, Rabu – Semua surat rasmi yang dihantar kepada kerajaan diwajibkan menggunakan Bahasa Kebangsaan iaitu bahasa Melayu.
Memberi peringatan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sesiapa sahaja menulis selain daripada bahasa Melayu, maka surat yang dihantar akan dipulangkan semula.
Beliau membuat arahan tersebut kepada semua pihak terutama dalam kalangan syarikat tempatan atau institusi pengajian tinggi untuk mengutamakan Bahasa Kebangsaan.
“Saya ingin peringatkan hal ini dalam kalangan syarikat tempatan dan universiti tempatan supaya arahannya siapa sahaja menulis selain bahasa kebangsaan surat itu akan dipulangkan. Ini tidak akan menjadikan kita sempit.
“Saya tidak meremehkan (bahasa Inggeris) tetapi perlu mengakar di bumi berhubung pemerkasaan budaya dari sudut bahasa, sastera sesuatu yang integral dalam pembinaan bangsa.
“Jangan cuba remehkan, arahan jelas bahawa tidak akan melayani sebarang surat yang disampaikan oleh rakyat, syarikat tempatan dalam bahasa selain bahasa kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada majlis perasmian Karnival Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan 2023 di Universiti Multimedia, hari ini.
Katanya, kadangkala wujud kekeliruan penggunaan bahasa dalam soal hubungan perdagangan antarabangsa yang lebih menggunakan bahasa Inggeris.
Tetapi sering dilupakan sikap masing-masing dilihat terpesong apabila didapati ada beberapa agensi awam dan swasta seringkali cuba meninggalkan asas Perlembagaan menggunakan bahasa kebangsaan dalam perhubungan dengan jabatan kerajaan, katanya.