Berita Utama

iGuru sangkal solidariti Palestin di sekolah heret murid pada konflik antarabangsa

Dakwaan GHRF, 17 NGO boleh gugat kesatuan guru dan sekolah

BANGI, 11 Rabiulakhir 1445H, Khamis – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) mempertahankan pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin di institusi bawah Kementerian Pendidikan (KPM), sebagai tanda solidariti dan kebersamaan kemanusiaan sejagat terhadap kezaliman rejim Zionis.

Justeru, iGuru menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Global Human Rights Federation (GHRF) bahawa pelaksanaan ini mengheret murid ke pada isu konflik antarabangsa di lokasi sekolah.

Presidennya, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, tindakan Global Human Rights Federation dan 17 NGO boleh menimbulkan provokasi, menggugat keharmonian serta kesatuan warga guru dan sekolah.

“Ini kerana surat siaran KPM bertarikh 21 Oktober 2023 menjelaskan pelaksanaan program ini bertemakan keamanan dan kemanusiaan tanpa melibatkan unsur yang bersifat agresif dan ekstrem.

“Langkah solidariti ini bertepatan dengan pendirian tegas Kerajaan Malaysia dan Ahli Parlimen Malaysia yang bersatu hati menyokong perjuangan kemerdekaan Palestin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Atas dasar itu, beliau mengulangi cadangan iGuru sebelum ini supaya isu Palestin diangkat sebagai satu tema penting di dalam kurikulum pendidikan, sama ada melalui aktiviti ko-akademik atau kokurikulum.

“iGuru berharap pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin ini mempamerkan wajah kemanusiaan dan semangat kebersamaan seluruh warga guru Malaysia terhadap perjuangan Palestin serta tanda kesedaran tinggi untuk menerapkan nilai-nilai kefahaman perjuangan berpaksikan prinsip agama yang benar dan manusiawi,” katanya.

21 Oktober lalu, KPM telah mengeluarkan arahan rasmi berkenaan pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin bermula 29 Oktober hingga 3 November ini.

Program anjuran KPM itu membabitkan semua institusi pendidikan termasuk di peringkat rendah dan menengah, yang bertujuan memberi sokongan kepada saudara Islam di Palestin yang kini derita akibat pencerobohan rejim Israel.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button