Isu Palestin: Malaysia patut proaktif seperti Tun M tangani konflik Bosnia
Setidaknya PM jumpa Hamas, ubah polisi sokong 'Two State Solution'

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
KUALA LUMPUR, 11 Rabiulakhir 1445H, Khamis – Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP) menggesa Kerajaan Malaysia mengambil langkah proaktif dalam usaha membebaskan Palestin daripada penjajahan.
Pengerusinya, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, laungan serta desakan disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berjumpa pemimpin Arab tidak memadai sekiranya langkah aktif dan fizikal tidak diambil.
Katanya, kerajaan perlu mengambil pendekatan proaktif seperti dilakukan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika beliau menjadi Perdana Menteri dalam menangani konflik Bosnia.
Beliau berkata, setidaknya Perdana Menteri perlu berjumpa dengan Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) – yang memainkan peranan besar di Gaza.
“Sebenarnya perjumpaan pimpinan-pimpinan negara Islam dengan Hamas merupakan satu signal yang penting kepada Barat. Tapi signal itu tidak diberikan langsung. Dalam sidang Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pun Hamas tidak dipanggil.
“Kita juga melihat bagaimana laungan-laungan yang tidak disertai dengan tindakan berbeza dengan isu Bosnia dulu,” katanya pada sidang media Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin mengenai perkembangan terkini perang Palestin-Israel di Anjung Melayu, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Fauzi menegaskan, antara perkara paling utama perlu kerajaan lakukan adalah memperbetulkan polisinya yang menyokong dasar OIC berkenaan Penyelesaian Dua Negara atau ‘Two-State Solution’.
Beliau yang juga Perunding Kanan Hubungan Antarabangsa ISMA berkata, selagi dasar tersebut dipegang, penyelesaian ke arah pembebasan Palestin tidak akan beranjak biarpun Malaysia mengutuk Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
“Walaupun mungkin kerajaan melaungkan kebebasan Palestin tetapi maksud pembebasan Palestin (selagi dasar kerajaan tidak berubah) ia akan pergi kepada perpecahan bumi Palestin kepada dua iaitu Israel dan Palestin. Perkara ini tidak akan menyelesaikan masalah.
“Sebab itu kita di sini mendesak supaya kerajaan sendiri mengubah polisi dan dasarnya untuk melihat penyelesaian kepada isu Palestin adalah bersifat pembebasan daripada penjajahan,” katanya.
Untuk rekod, Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin ditubuhkan bagi menggarap semua kekuatan umat Islam untuk disatukan dalam langkah yang lebih strategik ke arah membebaskan Palestin daripada penjajahan rejim Israel.
Gabungan ini akan menjalankan kempen selama dua bulan, selain menjalankan usaha melobi dan menggesa pihak kerajaan serta badan-badan antarabangsa supaya mengatur langkah ke arah membebaskan Palestin.