Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Dakwaan Anwar ‘diancam’ kerana kritik Israel pelik, melucukan

Ketegasan Malaysia sokong Palestin bukan baharu, tapi sejak PM dahulu

BANGI, 11 Rabiulakhir 1445H, Khamis – PAS menyifatkan dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diancam berikutan kritikannya terhadap kerajaan Israel dalam isu perang di Gaza, sebagai pelik dan melucukan.

Walhal, pendirian tegas Malaysia menyokong perjuangan rakyat Palestin serta mengkritik Israel sudah diketahui umum dan bukanlah berita baharu, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, Perdana Menteri terdahulu seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga diketahui lantang dalam isu ini, namun tiada laporan mereka ‘diancam’ berkait ketegasan serta kelantangan itu.

“Malah Malaysia juga mempunyai hubungan rasmi dengan kerajaan Palestin dan juga Hamas di bawah kepimpinan sebelum ini.

“Jadi kenapa pula PM Anwar tiba-tiba ‘diancam’ dan ancaman itu pula adalah dalam bentuk ‘kenyataan-kenyataan’ yang dibuat oleh Ahli-Ahli Parlimen?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan yang dibuat Anwar himpunan solidariti bersama rakyat Palestin pada Selasa lalu, bahawa ancaman tersebut diterimanya dalam bentuk ‘kenyataan-kenyataan’ yang dibuat oleh Ahli Parlimen negara-negara Eropah.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, Anwar juga enggan menjelaskan dakwaannya itu meskipun didesak media, sebaliknya mendakwa kerajaan akan mengeluarkan kenyataan media berhubung isu berkenaan.

“Sekiranya ‘ancaman’ yang dimaksudkan itu benar-benar wujud dan berlaku, bukankah sebagai ketua kerajaan, langkah wajar yang perlu diambil oleh Perdana Menteri ialah dengan memanggil duta atau wakil negara terbabit bagi menyampaikan bantahan Malaysia terhadapnya, bukan membuat kenyataan terbuka tanpa penjelasan mengenainya.

“PAS percaya kenyataan ‘alarmist’ sebegini yang bertujuan untuk menonjolkan ‘kehebatan’ dan ‘kepentingan’ Perdana Menteri sudah menjadi ciri kekal pentadbirannya yang sehingga kini masih terkial-kial dalam mendapatkan sokongan dan kepercayaan awam,” katanya.

Lebih malang lagi, beliau berkata, dakwaan Anwar itu dibuat dalam acara yang sepatutnya didedikasikan sepenuhnya kepada perjuangan rakyat Palestin, bukan menunggangnya untuk menunjukkan ‘kehebatan’ seseorang pemimpin.

“Selain itu ia juga boleh pula menimbulkan imej tidak positif terhadap negara kerana Perdana Menteri menimbulkan ‘dakwaan rambang dan khayalan’ sedemikian,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button