29,000 bangunan Palestin rosak dibedil Israel
38 masjid, tiga gereja dan 189 sekolah turut dibom

GAZA, 12 Rabiulakhir 1445H, Jumaat – Serangan udara Israel merosakkan sekurang-kurangnya 29,000 bangunan di Semenanjung Gaza sejak pencerobohan rejim pada 7 Oktober lalu.
Pejabat Media Kerajaan Gaza berkata, kira-kira 190,000 rumah rosak sebahagiannya, manakala sekitar 2,000 orang masih terperangkap di bawah runtuhan.
Akibat serangan rejim pengganas itu, 79 bangunan kerajaan, 38 masjid, tiga gereja dan 189 sekolah telah dibom.
Selain itu, 25 daripada sekolah itu telah dihentikan perkhidmatan.
Lebih 1.5 juta orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka dan berlindung di pusat, hospital dan kemudahan awam.
Israel telah melancarkan serangan udara tanpa henti di Semenanjung Gaza berikutan serangan rentas sempadan oleh pejuang Hamas ke wilayah Israel pada 7 Oktober lalu.
Lebih 7,000 rakyat Palestin syahid akibat serangan Israel yang memasuki minggu ketiga ke atas wilayah terkepung itu.
2.3 juta penduduk Gaza juga berdepan kehabisan makanan, air, bekalan ubatan dan bahan api, tatkala konvoi bantuan yang dibenarkan masuk hanya membawa sebahagian kecil keperluan untuk mereka.- Agensi