70 peratus kematian di Gaza kanak-kanak, wanita
‘Mengapa tiada rasa mendesak tamatkan pembunuhan kami?’

NEW YORK, 12 Rabiulakhir 1445H, Jumaat – Duta Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Riyad Mansour memberitahu sidang khas tergempar Perhimpunan Agung PBB bahawa lebih 7,000 orang awam tterbunuh oleh pengeboman ganas Israel sejak 7 Oktober, dengan 3,000 kanak-kanak antara yang terkorban.
“Tujuh ribu rakyat Palestin telah dibunuh oleh Israel dalam tempoh hampir tiga minggu lepas. 70 peratus daripada semua yang terbunuh adalah wanita dan kanak-kanak. Hampir semua yang terbunuh adalah orang awam.
“Adakah ini perang yang kamu pertahankan? Biar saya ulangi, adakah ini perang yang dipertahankan oleh sebahagian daripada kamu?” tanya Mansour kepada negara-negara Barat.
Beliau berkata, tiada apa yang boleh mewajarkan pembunuhan seorang kanak-kanak Palestin.
“Mengapa kamu tidak rasa terdesak untuk menamatkan pembunuhan kami? Tiada apa yang membenarkan jenayah perang,” kata duta Palestin itu.
Agensi Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) telah mengecam jumlah “mengejutkan” kanak-kanak yang terkorban di Gaza.
“Orang ramai diarahkan berpindah. Mereka melihat anak-anak mereka. Adakah kita perlu ke selatan?
“Adakah kita akan dibom dalam perjalanan atau sekali di sana? Adakah kita perlu pergi ke pekarangan hospital? Sekolah PBB? Gereja? Masjid? Tidur di rumah kita. kereta di jalanan? Tetapi bom ada di mana-mana,” katanya.
Ini kerana, Israel telah memusnahkan lebih 40 peratus daripada semua rumah, menjadikan seluruh penduduk kehilangan tempat tinggal dan berpindah.
Komen Mansour disusuli serangan darat Israel ke utara Gaza semalam, menjelang kemungkinan pencerobohan darat.
Kakitangan Perubatan Gaza menggambarkan adegan apokaliptik di mana mereka perlu membuat keputusan hidup atau mati untuk menyelamatkan mereka yang cedera akibat serangan udara.
Pada 7 Oktober, Hamas melancarkan operasi terbesarnya terhadap Israel selama bertahun-tahun dalam serangan mengejut, yang digelar Taufan Al-Aqsa, sebagai tindak balas terhadap jenayah yang diperhebat oleh rejim pendudukan terhadap rakyat Palestin.
Sejak itu, Israel terus-menerus tanpa henti mengebom Gaza. Angka kematian di Gaza sejak permulaan pencerobohan Israel mencecah lebih 7,000 dengan lebih 18,000 cedera.
Tel Aviv juga telah menyekat air, makanan, dan elektrik ke Gaza, menjerumuskan wilayah yang dikepung itu ke dalam krisis kemanusiaan. – Agensi