Baru Bian, Willie Mongin seolah ‘mati jiwa’ bantah himpunan Palestin di sekolah
Malang ada wakil rakyat anggap memadai luah rasa simpati

BANGI, 12 Rabiulakhir 1445H, Jumaat – Tindakan dua wakil rakyat Sarawak membantah himpunan solidariti mengenai kekejaman Israel di sekolah dilabel sebagai memalukan.
Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Mohd Nasir Abdullah berkata, pihaknya mengecam kenyataan yang mempertikaikan kewajaran mengadakan himpunan ini kerana ianya merupakan satu isu kemanusiaan, pencabulan dan pembunuhan (genosid) sejak sekian lama di bumi Palestin.
“Tindakan dua wakil rakyat daripada Sarawak iaitu Baru Bian dan Datuk Willie Mongin yang membantah diadakan himpunan solidariti mengenai kekejaman Israel di sekolah sebagaimana pekeliling Kementerian Pendidikan (KPM) jelas menunjukkan sikap tidak peka dan mati jiwa.
“Ini amat memalukan kita sebagai rakyat Malaysia kerana ini bukan soal pelajar perlu berpihak kepada geopolitik yang rumit.
“Tetapi ianya merupakan satu solidariti berhubung kekejaman demi kekejaman yang dilakukan ke atas sebuah negara yang berdaulat,” katanya.
Sebelum ini, Baru Bian dan Willie Mongin masing-masing menyuarakan bantahan terhadap keputusan KPM supaya institusi pendidikan bawah kementerian itu mengadakan ‘minggu solidariti’ bagi menunjukkan sokongan kepada Palestin.
Baru Bian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’kelalan berkata, walaupun beliau bersimpati dengan mangsa konflik Palestin-Israel yang sedang berlaku, arahan yang dikeluarkan KPM menyebabkan pelajar perlu berpihak dalam isu geopolitik yang rumit.
Sementara itu, Willie Mongin pula menggesa KPM memberi fokus pendidikan kepada pelajar dan bukannya menjadikan sekolah sebagai tempat menganjurkan program sedemikian.
Ahli Parlimen Puncak Borneo itu menyifatkan, keputusan KPM bukanlah satu bentuk tata kelola yang baik.
Pada masa sama, Nasir menyuarakan rasa kesal tindakan kedua-dua wakil rakyat berkenaan yang seolah-olah tidak bersungguh-sungguh memperjuangkan isu Palestin
“Rakyat di pelbagai negara tanpa mengira agama dan bangsa turun ke jalan-jalan raya mengutuk keganasan Israel ke atas Palestin.
“Malangnya ada wakil rakyat Malaysia yang berpendapat isu Palestin hanya memadai dengan mengeluarkan kenyataan satu baris iaitu ‘kami simpati dengan rakyat Palestin’,” katanya.