Bekas ketua tentera Israel sokong pecat Netanyahu
Cadang lantik pemimpin baharu ketuai perang di Gaza

TEL AVIV, 12 Rabiulakhir 1445H, Jumaat – Desas-desus berlaku konflik dalaman terhadap pentadbiran Israel semakin jelas apabila seorang bekas ketua tentera Zionis menyokong idea memecat Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.
Bekas Ketua Staf Tentera Israel, Dan Halutz mendakwa, dia menyokong supaya pemimpin baharu dilantik menggantikan Netanyahu untuk mengetuai perang di Gaza.
“Dalam peperangan, kita boleh menuntut sedemikian,” kata Halutz yang menyifatkan Netanyahu bertanggungjawab membawa Israel melalui kepimpinannya sebelum ini kepada keadaan sekarang.
Halutz juga menyokong untuk menukar tahanan Israel di Gaza dengan tahanan Palestin di penjara Israel.
“Ia berbaloi dengan nilainya. Sebagai pertukaran untuk Gilad Shalit (askar), 1,027 tahanan dibebaskan.
“Sebagai pertukaran untuk 220 yang diculik, 200,000 mesti dibebaskan mengikut kiraan ini,” katanya.
Halutz, yang mengetuai Perang Lubnan Kedua pada 2006 menggesa cadangannya dipertimbang secara serius melalui kaedah pertukaran tahanan terlebih dahulu.
Dia turut memberi amaran supaya tentera Zionis tidak melancarkan serangan darat di Gaza sebelum tahanan Israel dibebaskan.
“Apa erti operasi darat sekarang apabila orang yang diculik (Israel) berada di sana?
“Ia adalah ruang untuk Hamas melancarkan perang psikologi dan Tuhan melarangnya. Ia akan menyebabkan sebahagian mereka cedera dan sebahagian lagi tidak kembali,” dakwanya.
Hampir setiap hari, keluarga tahanan Israel yang ditahan Hamas mengadakan protes untuk menuntut kerajaan membebaskan saudara mereka.- Agensi