Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Dunia

Hamas nafi Hospital Shifa diguna sebagai ‘kubu’ tentera

Tuduhan Israel palsu, sengaja buka jalan untuk serang hospital

RAMALLAH, 13 Rabiulakhir 1445H, Sabtu – Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) menafikan dakwaan Israel kononnya hospital di utara Semenanjung Gaza digunakan untuk tujuan ketenteraan.

Ahli Biro Politik Hamas, Izzat Al-Rishq dalam kenyataan pada Jumaat menegaskan, dakwaan Israel mengenai Hospital Al-Shifa adalah palsu.

“Tuduhan sedemikian hanya membuka jalan untuk (Israel) menyasarkan sebuah hospital yang menempatkan ribuan mangsa cedera dan lebih 40,000 penduduk yang kehilangan tempat tinggal,” katanya.

Izzat juga menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara-negara Arab untuk segera campur tangan menghentikan pengeboman serta serangan ke atas sistem perubatan di Gaza.

Kenyataan itu dibuat sebagai tindak balas kepada tuntutan Israel untuk mengosongkan Hospital Shifa kononnya sebagai persediaan, apabila tentera menganggapnya ‘kubu’ Hamas, selain mengancam mengebom kawasan terbabit.

Pada awal konflik Gaza, Israel mengarahkan lebih sejuta penduduk mengosongkan kawasan utara wilayah ke selatan, walaupun diberi amaran bahawa langkah demikian akan mewujudkan bencana kemanusiaan.

Dalam serangan udara tanpa henti sejak 7 Oktober lalu, Israel direkod melakukan pengeboman ke atas kemudahan perubatan, rumah dan tempat ibadat yang disifatkan pengkritik melanggar peraturan perang.

Lebih 7,300 rakyat Palestin syahid dalam serangan itu, di mana 70 peratus daripada kematian di Gaza adalah wanita dan kanak-kanak.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button