Artikel KhasBerita UtamaDunia

Israel tak peduli nasib tawanan bangsa sendiri?

Apakah Netanyahu akan setuju syarat Hamas, atau biarkan saja rakyatnya dibedil peluru sendiri?

REJIM pengganas Israel nampaknya tidak begitu mempedulikan nasib tawanan rakyat mereka yang berada di bawah tahanan Briged Al-Qassam.

Ini kerana, tawaran Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) untuk melepaskan tawanan Israel dengan segera – dengan syarat Israel melepaskan semua tahanan Palestin di penjara negara haram itu – tidak mendapat respon segera daripada pihak Israel.

Apa yang dapat dilihat adalah Israel hanyalah bersandiwara dengan mengatakan mereka bimbang akan keadaan tawanan di bawah sayap ketenteraan Hamas iaitu Briged Al-Qassam, tetapi tidak melakukan tindakan tuntas untuk memastikan keselamatan tawanan.

Mereka memilih untuk berdolak dalih dengan keluarga tawanan dan seakan ‘mencuri masa’ untuk kepentingan propaganda sendiri.

Dalam satu kenyataan, tentera Israel kononnya berkata ia telah berusaha untuk memberi jaminan kepada orang ramai bahawa ia boleh mencapai dua matlamat perangnya terhadap Hamas secara serentak – menggulingkan pemimpin kumpulan itu dan menyelamatkan kira-kira 230 tebusan yang ‘diculik’ dari Israel.

Tetapi ketika tentera Israel meningkatkan serangan udara dan pencerobohan darat ke atas Semenanjung Gaza yang disekat, semakin ramai yang terbunuh menyebabkan keluarga tawanan semakin bimbang matlamat tersebut akan bertembung dengan akibat yang dahsyat, lapor AP.

Kerajaan Israel juga tidak menerangkan bagaimana kaedah misi menyelamatnya. 

Dalam ucapan di televisyen lewat Sabtu, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mengakui penderitaan keluarga tebusan dan berjanji pembebasan mereka adalah bahagian penting dalam usaha perang Israel, seiring dengan matlamatnya untuk memusnahkan Hamas.

Manakala, Menteri Pertahanan, Yoav Gallant pula berjanji untuk bertemu keluarga tawanan hari ini sebagai pertemuan rasmi pertama dengan mereka.

Mengulas keadaan ini, seorang jeneral bersara dan bekas ketua perisikan tentera Israel, Amos Yadlin berkata, cabaran kerajaan Israel adalah untuk memenuhi tekanan orang ramai yang kuat untuk mengembalikan tawanan dengan selamat dan menghapuskan Hamas. 

Dia menegaskan kedua-dua matlamat itu ada kemungkinan boleh berlaku jika kerajaan negara haram itu menemui ‘strategi yang betul.’

“Kedua-duanya harus dikendalikan secara serentak dan harus menyokong satu sama lain,” kata Yadlin, tanpa mengulas lanjut.

Mengimbangi kepentingan keluarga tawanan dengan matlamat ketenteraan untuk memusnahkan Hamas menimbulkan dilema bagi Netanyahu, yang sudah diserang kerana kegagalan kerajaannya menghalang serangan terburuk dalam sejarah Israel dan gagal membantu rakyat pada hari serangan tersebut.

Apakah kesudahan pilihan Netanyahu demi menjaga survival politiknya? Membiarkan tawanan Israel di tangan Al-Qassam dan terus membedil Gaza (membunuh tawanan sendiri), atau ‘mengambil hati’ rakyatnya dengan menerima syarat Hamas?

 

Wartawan Ismaweb.net
Ainul Illia Meor Suzurudin

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button